Premis simpan lori buang sisa pembuangan terjadual 

Premis simpan lori buang sisa buangan terjadual 

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) mendengar penerangan daripada pegawai JAS mengenai bacaan yang direkodkan ketika meninjau sendiri keadaan pencemaran sungai akibat pembuangan sisa toksik di tali air Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan pemilik premis penyimpanan lori yang melakukan pembuangan bahan buangan terjadual terus dari lori kontena ke tali air menjadi punca penduduk Kampung Baru Seri Aman, Kempas, di sini terjejas akibat pencemaran tersebut. 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap tindakan pembuangan sisa terjadual dengan sengaja yang dilakukan dengan menggunakan saluran paip terus ke tali air di belakang premis.

Katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor mempunyai bukti yang kukuh berhubung kegiatan tindakan tidak bertanggungjawab itu yang dilakukan penjenayah alam sekitar ini.

Tambahnya, pihaknya telah menahan sembilan suspek membabitkan seorang pemilik premis dan empat warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

“JAS Johor telah mengenal pasti punca tempat pelepasan bahan toksik ini dibuang. Dengan  kerjasama pihak polis, kita sudah membuat tangkapan seramai sembilan orang termasuk pemilik premis berkenaan. 

“Ingin ditegaskan bahawa kementerian pandang serius isu ini dan tidak akan berkompromi selain bertindak mengikut akta sedia ada agar perkara ini tidak berulang. Saya lihat di Johor Bahru banyak kes seperti ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan kawasan tercemar akibat pembuangan sisa toksik di premis penyimpanan lori yang terletak berhampiran.

Tuan Ibrahim turut memuji tindakan pantas JAS dan agensi yang berkaitan bagi membendung mengawal aliran pencemaran dianggarkan meliputi kawasan Sungai Tawakal sepanjang satu kilometer.

Mengulas lanjut, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan selain telah mengumpul bahan bukti susulan membuat tangkapan terhadap kesemua suspek dilakukan. 

“Premis tersebut telah lama beroperasi dan belum pernah ada kes berkaitan pencemaran. Premis tersebut telah diarahkan tutup serta merta,” katanya. 

Katanya, pihaknya menegaskan akan memantau semua premis yang dilesenkan oleh JAS untuk memastikan semua buangan terjadual dibuang secara betul.

Sementara itu, beliau berkata, analisa kimia dijangka akan diperoleh dalam tempoh seminggu selain pemantauan akan diteruskan terhadap tahap kualiti udara di kawasan sekitar tempat kejadian. 

“Melalui pemantauan dron, Unit Water Safety Plan (WSP) Ranhill SAJ mendapati sungai yang tercemar terus mengalir ke anak Sungai Tebrau dan tiada intake loji rawatan air (LRA) yang terlibat. Oleh itu, pencemaran ini tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya