BALING: Polis mengadakan rondaan ke kawasan dilanda banjir dengan lebih kerap bagi mengelak rumah penduduk dipecah masuk pencuri sepanjang mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, Unit Ronda Bermotosikal (URB) memasuki kampung yang terjejas akibat banjir bagi memastikan tidak berlaku kes jenayah pecah rumah dan kecurian harta benda.
“Sememangnya mangsa banjir berasa bimbang rumah mereka dimasuki pencuri jika mereka meninggalkannya tanpa keselamatan.
“Anggota polis akan membuat rondaan sekerap mungkin ke kawasan itu,” katanya ketika meninjau kawasan banjir di Parit Panjang di sini hari ini.
Setakat hari ini, seramai 235 mangsa banjir daripada 89 keluarga dipindahkan di 12 PPS di daerah ini.
Beliau turut menasihatkan mangsa-mangsa banjir agar membawa semua dokumen penting, wang serta barangan kemas semasa berpindah ke PPS.
Tambahnya, mangsa juga perlu memaklumkan status kesihatan kepada petugas supaya memudahkan pihak berkenaan membuat pengasingan untuk mengelak risiko jangkitan Covid-19 serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita berharap penduduk yang berada di kawasan rendah serta di tepi sungai supaya berpindah segera sekiranya terdapat risiko berlaku banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE