GEORGETOWN : Polis Pulau Pinang akan bertindak menutup premis, taman rekreasi atau pantai popular di negeri ini sekiranya dikesan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, menerusi pemantauan yang dilaksanakan pada Sabtu dan Ahad lalu, polis mendapati terdapat peningkatan jumlah orang ramai mengunjungi tempat-tempat pelancongan seperti kawasan pantai di Batu Ferringhi, di sini.
“Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa Pulau Pinang belum keluar daripada ancaman Covid-19, kes positif di negeri ini masih mencatatkan empat angka setiap hari.
“Polis akan teruskan pemantauan dan akan mengambil tindakan sepatutnya seperti menutup premis serta tempat pelancongan dan rekreasi awam sekiranya orang ramai tidak patuh dengan SOP,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum mengambil pendekatan menutup premis, polis akan menasihati orang ramai untuk bersurai terlebih dahulu sekiranya mereka berada di lokasi yang sesak dan padat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai video tular membabitkan penyerahan bantuan di Pejabat Parti Gerakan di Jalan Macalister yang dipenuhi orang ramai, Mohd. Shuhaily berkata, polis mendapati tiada pelanggaran SOP ketika penyerahan itu dilaksanakan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, warga Jepun yang tinggal di Pulau Pinang tidak perlu gusar atau takut berhubung amaran kepada rakyat negara itu di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.
“Polis Pulau Pinang telah meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan rapi di syarikat, premis dan apa sahaja yang berkaitan kepentingan luar negara terutama Jepun.
“Sebenarnya keadaan terkawal dan tahap ancaman tidak wujud pun berhubung perkara tersebut,namun kami ambil langkah tingkatkan pemantuan rapi.Warga Jepun di sini tak perlu bimbang,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Habis