KUANTAN: Polis Kuantan giat mengesan seorang penunggang basikal yang bertindak bahaya dengan mengekori rapat di belakang sebuah lori treler.
Aksi itu tular menerusi video berdurasi dua minit 34 saat dalam media sosial menyiarkan seorang penunggang basikal berada rapat mengekori lori treler, dipercayai dilakukan di Jalan Kuantan-Gambang, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohammed Rizal Kamaruddin berkata, tindakan penunggang tersebut bukan sahaja membahayakan nyawanya malah pengguna jalan raya yang lain.
Menurutnya, maklumat orang ramai begitu diperlukan bagi membantu siasatan kejadian tersebut.
“Setakat ini, pihak polis meminta orang ramai memberikan maklumat untuk kita mendapatkan kesahihan namun secara jelas dan nyata perbuatan tersebut telah dilihat melanggar peraturan jalan raya.
“Penunggang basikal itu boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan penjara selain basikalnya juga boleh disita.
“Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 42 dan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 dan boleh dipenjarakan tidak lebih 12 bulan,” katanya dalam sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Trafik Jalan Mat Kilau, di sini hari ini.
Terdahulu, video tersebut dirakam pemandu lori yang memandu di belakang basikal berkenaan dan telah memaklumkan pemandu lori di hadapan bahawa ada sebuah basikal mengekori rapat.
Berdasarkan audio percakapan mereka, lori terbabit cuba melakukan penjarakan setelah diberitahu tetapi penunggang basikal tersebut kelihatan ikut memecut.
Mengulas lanjut perkara itu, Mohammed Rizal menjelaskan, setakat ini pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang kompaun kepada mana-mana individu atau kumpulan berbasikal di daerah ini.
“Penunggang basikal dinasihatkan perlu sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ketika melakukan aktiviti riadah itu dan tidak melakukan kesalahan yang sama di masa-masa akan datang.
“Kita ambil pendekatan untuk memberi pendidikan dan kesedaran dengan memberi amaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang,” katanya. – UTUSAN