PETALING JAYA: Penyokong-penyokong bola sepak tempatan mungkin dapat melepaskan rindu dan menikmati aksi Piala Malaysia edisi ke-100 di stadium pada hujung bulan Oktober.
Saingan Piala Malaysia akan berehat selama sebulan bermula 30 September ini bagi memberi laluan kepada jendela FIFA melibatkan pasukan kebangsaan, sebelum perlawanan bersambung kembali pada 29 Oktober.
Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan menjelaskan pihaknya tidak cemas dengan pengumuman penangguhan di buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana percaya apa-apa keputusan dibuat adalah yang terbaik untuk semua pihak.
Tambahnya, MFL percaya dan meletakkan keyakinan penuh bahawa ‘pintu’ kemasukan penonton ke stadium akan dibuka tidak lama lagi.
“Keputusan KBS menangguhkan sementara adalah tepat sebab tanggungjawab mereka besar seperti penglibatan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu lebih teliti.
“Jadi kami tidak cemas kerana ia bukan ditolak tetapi ditangguh sementara. Sedia maklum bagi negeri Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kemasukan penyokong dan penonton yang menerima vaksin penuh dibenarkan masuk ke venue sukan serta rekreasi sebanyak 50 peratus terpaksa ditangguh sementara.
“Malah, bagi negeri Fasa 2 dan 3 juga dipertimbangkan. Pada 29 September adalah perlawanan terakhir sebelum Piala Malaysia berehat selama sebulan, jadi sepanjang tempoh itu saya percaya akan ada keputusan positif daripada Kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, kelmarin.
Terdahulu, KBS telah mengeluarkan satu kenyataan media bahawa kebenaran semasa di bawah PPN Fasa 4 yang melibatkan kehadiran penonton/penyokong ke venue sukan dan rekreasi adalah ditangguh sementara bagi membolehkan perinciaan semula Protokol Am Pengurusan penonton/penyokong dilaksanakan dengan mengambil kira penilaian risiko semasa.
Jika diimbas semula, stadium kembali bergema dengan sorakan penyokong bola sepak apabila kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke stadium pada awal April lalu, lebih setahun selepas Liga-M terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Dua perlawanan Liga Super membabitkan pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 April dan Kuala Lumpur City berdepan Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April dijadikan sebagai projek perintis bagi kemasukan penonton ke stadium.
“Kita sudah ada pengalaman sebelum ini dan bersedia dengan SOP yang ketat untuk kembali membawa masuk penonton ke stadium serta perlu dilaksanakan secara berperingkat.
“Kita harapkan ada pekembangan seperti mana tempoh hari dan mungkin penambahan serba sedikit untuk memastikan ramai boleh datang untuk meraikan 100 tahun Piala Malaysia dan juga menambah pendapatan pasukan yang agak kritikal, ini penting untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan.
“Pihak MFL juga akan bertindak tegas jika pasukan tuan rumah gagal mengawal penonton mengikut SOP, maka mereka akan digantung daripada kebenaran kemasukan penyokong,” ujarnya.
Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia akan bermula pada esok hingga 10 November dan disusuli aksi suku akhir pada 14 dan 18 November, sementara pusingan separuh akhir (22 dan 26 November) dan final pada 30 November.