KUALA LUMPUR: Undang-undang setiap universiti termasuk Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang didakwa mengekang penglibatan mahasiswa dalam berpolitik perlu dipinda segera.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguambela dan peguamcara, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pindaan itu wajar dilakukan sebagai menyahut tuntutan kepada pelaksanaan undi 18 tahun yang dijangka berkuatkuasa hujung tahun ini.
Katanya, sekiranya pindaan AUKU diluluskan, semua universiti tidak boleh lagi melaksanakan dan berpandukan undang-undang masing-masing demi menyekat penuntut universiti bergiat dalam politik.
Kata Jaharberdeen, undang-undang itu termasuk fasal 23(1)(f) Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) yang memperuntukkan tiada seorang pelajar boleh menjadi anggota atau bersekutu dengan persatuan, parti politik atau kesatuan sekerja sama ada di dalam dan luar universiti.
“Akta UiTM pun kena pinda juga. Kenapa mahu menidakkan mereka untuk berpolitik? Lagipun, adalah sesuatu yang pelik jika had umur mengundi sudah diturunkan kepada 18 tahun tetapi tidak dibenarkan berpolitik di universiti.
“Sekiranya akta ini tidak dipinda, ia akan menimbulkan keadaan yang tidak konsisten terhadap mahasiswa apabila hanya segelintir yang akan terdedah kepada proses-proses politik.
“Malah, zaman mengatakan jika pelajar berpolitik akan mengabaikan pelajaran itu sudah lapuk sebab hari ini politik sudah menjadi salah satu keutamaan dalam kehidupan dan sistem demokrasi negara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 10 Disember 2018 meluluskan pindaan membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan bersuara serta berpolitik.
Bagaimanapun, sehinggalah PH tumbang dan digantikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan melalui pilihan raya umum, kerajaan tidak meneruskan dengan rancangan berkenaan yang mengundang kekecewaan ramai mahasiswa.
Sekalipun pindaan itu dilakukan, ia tetap tidak terpakai untuk UiTM kerana masih terikat dengan Akta 173 manakala beberapa universiti lain tidak mempunyai akta sama melainkan AUKU yang menjadi tuntutan untuk dimansuhkan.
Senada dengan Jaharberdeen, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi pula berkata, sepatutnya perlu ada satu akta khusus yang mengawal selia undang-undang di semua peringkat universiti dan kolej supaya tidak menimbulkan pertindihan bidang kuasa pihak tertentu.
Katanya, kewujudan undang-undang berbeza namun memainkan fungsi serupa hanya mengundang konflik kerana dikhuatiri terdapat pihak atau mahasiswa yang mencabar akta universiti maisng-masing sekiranya AUKU sudah membolehkan mereka berpolitik.
“Kita mahu melibatkan pemimpin muda yang berilmu dan salah satunya daripada universiti. Jadi, perlu ada keselarian perundangan di sini. Tidak perlu lagi akta lain untuk mengelakkan pelibatan pelajar dalam kancah politik kerana kita sudah ke arah demokrasi berparlimen,” katanya. – UTUSAN