Pesawah diminta patuh jadual tanaman padi  - Utusan Malaysia

Pesawah diminta patuh jadual tanaman padi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis diminta mematuhi jadual penanaman padi musim 2/2021 yang bermula 15 September lalu hingga 4 November ini.

Pengurus Besar MADA, Kamaruddin Dahuli berkata, pesawah terlibat perlu mengikut tiga fasa jadual ditetapkan di kawasan masing-masing bagi memudahkan pengurusan sokongan bekalan air untuk pertanian.

Menurutnya, jadual itu ditentukan selepas MADA mengambil kira beberapa faktor seperti ramalan sumber air sepanjang tahun, termasuk takungan air di empangan, aliran sungai, hujan di kawasan sawah dan guna semula air saliran.

Katanya, MADA juga mengambil kira faktor ramalan pencapaian aktiviti penuaian bagi musim 1/2021, varieti dan tempoh matang padi serta masalah penyakit dan perosak padi.

“Proses menabur benih bagi fasa satu bermula 15 September lalu dan berakhir 15 Oktober, manakala fasa dua bermula 25 September hingga 25 Oktober ini.

“Bagi fasa tiga pula, proses menabur benih akan bermula 5 Oktober hingga 4 November ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mencapai persetujuan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) bagi Musim 2/2021 yang dianggotai MADA serta pemimpin peladang Kawasan Muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Kamaruddin berkata, bekalan benih padi sah (BPS) bagi musim 2/2021 pula akan dipasarkan melalui 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

Beliau berkata, pesawah juga boleh mendapatkan bekalan BPS daripada ejen atau individu yang memiliki lesen atau surat kebenaran khas menjualnya pada harga siling RM35 bagi setiap beg.

“Peladang dinasihat menggunakan BPS saja bagi tujuan penanaman padi dan sentiasa mengikut amalan pertanian baik serta Senarai Semak Penanaman Padi (Rice Check), bagi meraih potensi hasil yang maksimum,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya