Pesakit buah pinggang berkorban jaga anak OKU, dua orang tua - Utusan Malaysia

Pesakit buah pinggang berkorban jaga anak OKU, dua orang tua

ZULIANA Mat Yunus membesarkan Adam Danial Mohd. Zulkifli yang menghidap sindrom Patau di Kampung Padang Halban, Kota Bharu. - UTUSAN/ ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Biarpun diri sendiri menderita sakit buah pinggang kronik, seorang ibu berkorban jiwa raga menjaga anak yang menghidap sindrom Patau, seorang diri tanpa suami di sisi di Kampung Padang Halban, Melor, di sini.

Ketika Zuliana Mat Yunus, 39, membesarkan anak tunggal, Adam Danial Mohd. Zulkifli, 12, yang menghidap sindrom tersebut sejak lahir, dia juga bergelut untuk menyara ibu dah ayahnya yang turut mempunyai masalah kesihatan.

Bapanya Mat Yunus Mat, 66, menghidap gout kronik manakala ibunya pula, Seti Keyah Manap, 65, menderita penyakit saraf. Mereka berdua tidak bekerja dan kini bergantung sepenuhnya kepada Zuliana yang bertugas sebagai pembantu am rendah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zuliana memberitahu, dia merupakan isteri kedua dan perlu reda apabila sering ditinggalkan suami yang terpaksa memberi lebih tumpuan kepada keluarga isteri pertama di Gua Musang.

“Keluarga kami berdepan ujian berat apabila saya yang menghidap buah pinggang terpaksa menjaga anak yang sering diserang sawan dan ibu bapa seorang diri. Mereka bertiga kini mengharap pendapatan saya yang tidak seberapa.

“Dengan penyakit ini, saya terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tiga kali seminggu untuk mencuci buah pinggang. Jadi anak saya ditinggalkan bersama ibu dan ayah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Zuliana, walaupun mempunyai pekerjaan tetap, dia kini banyak bercuti kerana sering tidak sihat sehingga perlu mendapat rawatan susulan di hospital.

“Suami saya tinggal dan bekerja di Gua Musang. Dia semakin jarang pulang kerana masih perlu menjaga keluarganya di sana. Jadi saya perlu berdikari dan tidak mahu menambahkan bebanan suami.

“Namun masalah kewangan kami semakin teruk. Gaji saya tidak cukup untuk membeli susu dan lampin pakai buang anak yang kosnya mencecah RM1,000 sebulan, tidak termasuk kos rawatannya lagi,” katanya.

Zuliana berkata, sebelum ini, Adam Danial pernah menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun tiga tahun lalu, bantuan itu dihentikan dengan alasan dia mempunyai pendapatan tetap.

“Anak saya orang kurang upaya (OKU) kenapa tidak layak? Saya harap JKM sudi beri pertimbangkan semula bantuan kerana hidup kami semakin terhimpit. Ada tiga insan bergantung harap kepada saya yang sendiri sering sakit-sakit,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Zuliana menerusi talian 019 9570792 atau menyalurkan kepada akaun Maybank 153083125729 atas nama Zuliana Mat Yunus.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN