PETALING JAYA: Berlaku perubahan pembukaan institusi pendidikan bagi negeri-negeri yang terlibat dalam peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, ini berikutan pihaknya menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah kementerian berkenaan mengikut ketetapan fasa baharu dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.
Katanya, pembukaan institusi pendidikan bawah kementerian berkenaan bagi negeri Pahang kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN, manakala Negeri Sembilan juga kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN.
“Pembukaan institusi pendidikan bawah kementerian berkenaan bagi negeri Johor bermula 10 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.
“Memandangkan negeri Pahang beralih ke Fasa 3 pada 24 September, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri itu beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula pada 11 Oktober.
“Oleh kerana Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 pada 24 September, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri itu hanya bermula pada 18 Oktober,” kata kenyataan itu.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan fasa bagi negeri Johor, Pahang dan Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.
Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan kelulusan untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.
Maka katanya, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut, manakala murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.
“Susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September lepas, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN,” katanya.
Tambahnya, bagi institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa, pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan 12 September lepas.
“Institusi pendidikan bawah kementerian dalam kenyataan media ini merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.
“Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah Kementerian Pendidikan bagi kategori sekolah dan kategori pusat.
“Kementerian Pendidikan juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan kementerian ini, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. -UTUSAN ONLINE