PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkasa aspek ekosistem ekonomi digital dalam mendepani cabaran fasa endemik dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih signifikan dengan keadaan semasa.
Inisiatif kerajaan memperkenalkan SOP peralihan fasa endemik adalah usaha positif bagi memulihkan ekonomi dengan lebih agresif dan terbuka kerana kita tidak boleh lagi menafikan keperluan mengadaptasi kehidupan dalam norma baharu bersama Covid-19.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, penggunaan medium digital secara menyeluruh dan efektif mesti diperkenalkan kerana pastinya terdapat aktiviti bersemuka yang masih tidak dapat dilakukan.
Ujarnya, bukan hanya e-dagang, namun kerajaan juga perlu memperbaiki kos logistik yang lebih efisien dan murah bagi menyokong para peniaga.
“Teknologi kewangan (fintech) juga perlu diperluas dengan pelbagai fungsi seperti pinjaman atas talian, insuran dan takaful atas talian, pembayaran mata wang asing untuk pembelian luar negara serta memperluas penggunaan e-dompet.
“Selain itu, paling mustahak kerajaan perlu membaiki sistem telekomunikasi dengan capaian 4G dan 5G yang lebih luas dan murah di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat terus bertahan dalam fasa endemik, Aimi Zulhazmi berpendapat setelah hampir dua tahun berdepan pandemik, setiap sektor ekonomi harus mempunyai kefahaman sendiri tentang bagaimana untuk menyesuaikan perniagaan mereka dengan SOP kerajaan.
Jelasnya, ia penting kerana masing-masing perlu memahami sekiranya kesilapan berlaku, maka perniagaan mereka terpaksa ditutup sementara sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
“Justeru, pemantauan data terkumpul melalui aplikasi MySejahtera hendaklah digunakan sebaiknya oleh setiap industri. Paling diberi perhatian adalah PKS yang mempunyai had minimum dari segi modal, tenaga kerja dan sebagainya.
“Kegiatan ekonomi semua sektor boleh dibuka apabila SOP diwujudkan dan diperketat. Contoh terbaik adalah pembukaan sektor pelancongan dengan memperkenalkan gelembung pelancongan di Langkawi dan sekiranya berjaya akan diteruskan kepada kawasan pelancongan terkenal lain di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan, industri pendidikan secara keseluruhan perlu diperbaiki bukan sahaja memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) tetapi juga pelbagai medium maya termasuk untuk perpustakaan, e-book, makmal virtual, dalam usaha menjadikan sektor ini lebih ampuh dan berdaya saing. – UTUSAN ONLINE