Perjalanan yang belum sempurna - Liza Hanim - Utusan Malaysia

Perjalanan yang belum sempurna – Liza Hanim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

25 tahun lalu, lagu Getaran Cinta Di Jiwa mula kedengaran di corong-corong radio. Penulis yang berusia 10 tahun ketika itu sering juga ditemani lagu ini sambil menyiapkan kerja sekolah yang menimbun.

Jujur, pada awal, penulis kurang kenal penyanyinya. Namun, suara gemersik yang menghiasi lagu ini penulis ibaratkan satu keistimewaan yang kena pada waktunya.

Liza Hanim adalah pesona yang tersendiri. Bayangkan, selepas 24 tahun menyanyi, dia masih kekal mencurah bakti di dalam industri dan mewarnai.

Namanya masih cantik terlukis di atas kanvas seni meskipun kehadiran penyanyi-penyanyi baharu itu silih berganti.

Maka benar dan terbuktilah, kehadirannya sebagai penyanyi bukan sekadar ‘persinggahan’ yang bersifat sementara.

Tanggal 24 Ogos lalu menjadi saksi, julung kali penulis berkesempatan menghubungi dan bertanya khabar penyanyi yang cukup disegani ini.

Walau hanya sekadar berbual dalam telefon, Liza yang membahasakan dirinya ‘kakak’ tetap mesra, ceria melayani permintaan untuk ditemuramah meskipun sibuk menguruskan rumah tangga dan perniagaan.

Di awal bicara, penulis bertanyakan, apa lagi? Pada usia 24 tahun sebagai penyanyi, apa lagi yang belum dia temui?

“Tampil menghiburkan peminat dalam showcase sendiri. Itu, pada saya satu impian yang masih belum tercapai.

“Perjalanan saya sebagai penyanyi sebenarnya tidak lengkap sekiranya belum ada showcase sendiri. Harapnya pandemik ini segera berakhir agar saya dapat mulakan perancangan ke arah itu.

“Saya sedar, untuk mengadakan persembahan secara fizikal pada ketika ini adalah sukar. Apatah lagi mencari penaja dalam waktu-waktu begini bukan mudah. Tapi itulah cabarannya. Tanpa showcase sendiri, perjalanan seorang Liza Hanim itu belum sempurna,” katanya tenang.

Penulis kemudian mengajak pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-17 ini bercerita soal kehidupan dalam norma baharu.

Liza, seperti kita semua menyimpan tanggapan sama tentang jalan kehidupan yang berubah 360 darjah selepas dunia dilanda wabak yang datang ‘menjengah’.

“Kalau waktu sekarang ini, kita dah sampai tahap di mana kita mampu biasakan diri. Dah biasa dengan Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) anak, mesyuarat menggunakan Zoom dan penggambaran di rumah sendiri.

“Tetapi, tetaplah rindu. Apa yang kita lakukan sekarang ini, bagi saya tidak optimum. Keberhasilan tidak seperti sebelum Covid-19 melanda. Kita semua bebas keluar ke sana sini, anak-anak boleh ke sekolah dan sebagainya,” katanya lagi.

Bagi seorang Haliza Hanim Abdul Halim, dia tidak mampu menidakkan sekelumit ketakutan yang sering hadir dalam diri, di kala pandemik ini. Padanya, Covid-19 adalah teguran Tuhan yang meng­insafkan.

“Rasa takut itu akan sentiasa ada, lebih-lebih lagi pada waktu-waktu begini. Bila kita menerima perkhabaran tentang kenalan kita yang telah pergi, ia secara langsung mengingatkan bahawa betapa kematian itu semakin mendekat.

“Saya ada lima orang anak. Ada ketika saya terfikir tentang keadaan mereka, yang belum sedia jika saya ‘dipanggil’ lebih dulu.

“Keadaan yang kita hadapi sekarang ini sedikit sebanyak mengubah sisi pandangan kita tentang hidup. Ia membuatkan kita lebih bersedia, mempersiapkan diri dengan pelbagai keperluan sekiranya kita dijemput Tuhan untuk pulang,” ujarnya.

Terima kasih buat yang menghargai

Seperti penyanyi lain, perjalanan seni Liza Hanim ada pasang surutnya. Kerana satu-satu keadaan, adakalanya dia terpaksa memperlahankan kegiatan seninya bagi memenuhi tuntutan hidup sebagai manusia biasa.

Namun tegas dia tekankan, tidak sekalipun merancang untuk mengundur diri dari lapangan. Katanya, selagi ada yang menghargai, dia terus berjuang dalam industri demi peminat yang disayangi.

“Usai menyertai Gegar Vaganza 4, saya berkata pada diri sendiri, selagi ada orang nak dengar saya menyanyi, selagi itu saya akan kekal berada di dalam industri seni.

“Namun, saya akur de­ngan ketentuan yang ada masanya menuntut saya memperlahankan aktiviti menyanyi. Contohnya ketika saya hamil anak kelima pada 2018 dan setahun kemudian saya kehilangan bapa tersayang.

“Kemudian pandemik pula melanda. Oleh itu, jika ada yang lihat saya ‘hilang’ sebentar dari radar hiburan, bukan meninggalkan industri secara perlahan-lahan, sebaliknya kerana keadaan. Semua sudah dirancang dan saya percaya ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Pun begitu, kata Liza dia amat menghargai dan bersyukur dengan kehadiran insan-insan yang banyak memberi sokongan dan sentiasa mengalu-alukan kepulangannya dalam lapangan seni.

“Saya bersyukur, walaupun ada ketika saya lama menghilang, bila kembali, rakan dalam industri dan peminat masih meletakkan jangkaan dan penghargaan untuk saya. Saya sangat berterima kasih.

“Untuk peminat, selagi ada yang menghargai dan menginginkan saya terus menyanyi, saya akan kekal berada di sini dan terus berkarya untuk anda semua,” jawabnya.

Mengintai tiga tahun mendatang

Bagi pelakon filem KL Menjerit ini, keputusan menceburi bidang perniagaan dibuat seiring matlamat dan misinya yang tersendiri.

Kegigihan mengusahakan jualan wangian, tudung serta platform perniagaan dalam talian, Hanim, menjadi satu persediaan seiring matlamat dalam tiga tahun mendatang.

Bagi Liza, dia berharap perniagaan yang diusahakan ini dapat memberi manfaat buat mereka yang memerlukan.

“Dalam tiga tahun akan datang, saya berharap jenama yang saya asaskan ini dapat diterima semua orang.

“Pada saya, pandemik telah membuka mata tentang kepayahan yang ditanggung orang lain. Ketika ini, terlalu ramai yang berdepan kesusahan dan hilang motivasi diri.

“Saya rasa belum cukup melakukan yang terbaik untuk membolehkan diri membantu lebih ramai yang memerlukan,” ujarnya.

Tambah Liza, untuk mencapai impian itu, dia perlu berusaha keras agar perniagaan yang dibina berjaya. Katanya, dia ingin melihat mereka yang dibantu, turut membantu orang lain yang dalam kesusahan.

“Jadi, tumpuan saya tidak lain hanyalah untuk membantu orang. Saya harap mereka juga akan hidup senang dan turut membantu yang lain.

“Ini adalah perjuangan perniagaan saya untuk tiga tahun akan datang. Untuk mencapainya, saya perlu pastikan perniagaan saya stabil dan berjaya.

“Apalah gunanya nama yang saya ada, tetapi tidak digunakan untuk menolong orang,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya