Perhilitan tumpaskan penyeludupan enggang di KLIA - Utusan Malaysia

Perhilitan tumpaskan penyeludupan enggang di KLIA

ANTARA enggang yang berjaya diselamatkan Perhilitan di KLIA baru-baru ini. – FOTO IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan lapan ekor burung enggang daripada menjadi mangsa jenayah penyeludupan.

Spesies tersebut ditemukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini baru-baru ini dengan kesemua unggas liar itu diselamatkan dalam satu operasi penguatkuasaan.

Perhilitan memaklumkan, operasi itu berjaya menahan dua suspek lelaki warga tempatan kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen sah daripada agensi itu bagi penyimpanan semua burung terbabit yang dilindungi undang-undang.

Satu laporan polis dibuat berhubung rampasan itu dan kesemua barang berkenaan dibawa ke ibu pejabat Perhilitan di ibu negara untuk tindakan selanjutnya, kata perhilitan menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook rasmi agensi itu.

Terdapat 10 spesies burung tersebut yang boleh ditemukan di Semenanjung dengan enggang papan atau lazim disebut sebagai great hornbill adalah antara saiz terbesar di dunia.

Burung itu atau nama saintifiknya, Buceros bicornis dikategorikan dalam senarai merah atau rentan oleh Kesatuan Pemuliharaan Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) berpusat di Britain.

Di negara ini, spesies berkenaan yang hidup secara monogamous; iaitu hanya ada satu pasangan sepanjang hayat, amat dilindungi sepenuhnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Unggas itu sering dicari ramai pemburu haram kerana paruhnya amat berharga lebih mahal daripada gading gajah yang boleh mencecah harga RM4,000 di pasaran gelap luar negara.

Ia banyak membiak di kawasan subtropika di benua Afrika dan Asia dengan terancam kepupusan di rantau Asia Tenggara kerana permintaan tinggi bagi tujuan perubatan tradisional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya