PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Hattan sekali lagi menjadi mangsa tipu helah individu tidak bertanggungjawab selepas mendapat satu pesanan daripada pihak tersebut.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Rendang Tak Berbuah itu memuat naik satu video sebagai berkongsi perkara yang berlaku terhadapnya.
Menurut Hattan, individu berkenaan mencuba nasib untuk memperdaya penyanyi itu dengan menyamar sebagai setiausaha sulit Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Di samping itu, dia meminta kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan helah scammer yang sedaya upaya untuk memperdayakan mangsa mereka.
“Hari ini ada lagi scammer mencuba, dia ingat kita tidak tahu. Tetapi, kali ini menyamar sebagai setiausaha sulit Datuk Azeez.
“Wah menyamar pula dia, ini saya hendak memberitahu kalau contohnya jika ada mereka ini beri salam, di mana? Boleh tolong tak? Jangan dilayan, ini semua scammer.
“Kalau dia memberitahu nak menolong keluarga dan sebagainya, anda cakap mak kau hijau (berseloroh). Pergilah bekerja, tidak perlulah mencari rezeki cara sebegini,” ujarnya di Instargam.
Sebelum ini, aplikasi Whatsapp milik penyanyi itu digodam oleh individu tidak bertanggungjawab. Sehubungan itu, dia mengambil inisiatif membuat satu laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.