Percaya pada kawan, tetapi bukan dengan... - Andi Bernadee - Utusan Malaysia

Percaya pada kawan, tetapi bukan dengan… – Andi Bernadee

ANDI BERNADEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syabas buat penyanyi Andi Bernadee kerana bangkit mempertahankan hak diri selepas menyedari dirinya dikatakan ditipu oleh sahabat baiknya sendiri.

Insiden yang mendapat liputan meluas media selepas Andi membuat laporan polis terhadap individu terbabit baru-baru ini bukan hanya memfokuskan jumlah wang kerugian akibat kelakuan pecah amanah.

Benar, sejumlah RM70,000 telah dibawa lari oleh si pelaku masih berada dalam siasatan pihak polis.

Tetapi hal ini bukan cuma soal wang ringgit. Ia menyorot kepada nilai sebuah kepercayaan yang selama ini diberikan oleh Andi kepada individu tersebut yang memegang janji sebagai seorang sahabat.

Apa yang berlaku pada penyanyi lagu Satu Peluang ini sebenarnya sangat kasihan. Tambahan pula apabila memikirkan segala keringat dan penat lelah bekerja, hasilnya dengan begitu mudah dirompak orang.

Kepercayaan sudah hilang, namun mahukah Andi memberikan satu lagi peluang? Berikut adalah luahan Andi bersama Pancaindera kali ini.

Setelah apa yang berlaku baru-baru ini, adalah Andi umpama serik untuk menjalin persahabatan dengan sesiapa terutama artis dan rakan industri?
Sebenarnya, nak kata serik itu tak boleh juga.Tak adalah serik sebab saya percaya kita ini masing-masing ada personaliti masing-masing. Tambah-tambah untuk artis dan rakan seindustri. Cuma, saya kena letakkan aspek berhati-hati itu lebih lagilah. Waima dengan sesiapa sekali pun.

Secara peribadi, Andi ini adalah seorang yang macam mana dalam bab berkawan? Seorang yang jujur, tulus atau seorang yang sanggup buat apa sahaja demi kawan?
Saya ini senang saja. Saya seorang yang mengamalkan sikap transparensi atau telus. Misalnya, kalau saya tengok sesuatu itu cantik, saya suka akan sesuatu, saya akan cakap. Begitu juga terhadap perkara atau benda yang saya tak suka. Juga, saya akan cakap terang-terangan. Memang begitulah saya dari dulu.

Sukar tak bagi Andi untuk mempercayai mana-mana pihak lagi selepas ini? Terutama dalam urusan kerja sebab ia melibatkan reputasi Andi sebagai seorang artis?
Saya rasa sukar sebab sekarang ini saya berdepan dengan isu kepercayaan dengan sesiapa sekali pun. Sebab, selama saya hidup 30 tahun ini, tak pernah lagi saya jumpa manusia seperti itu. Jadi apa pengalaman yang saya dapat itu adalah untuk mengenali orang-orang seperti itu. Pengalaman itu akan menjadi perisai saya untuk kehidupan pada masa akan datang.

Melihat kepada satu- persatu musibah yang menimpa Andi, rasa-rasa adakah ini akan menyebabkan awak putus semangat untuk meneruskan kerjaya yang sudah dibina atau dalam erti kata lain, Andi rasa menyesal menjadi anak seni?
Saya rasa ini bukan masanya untuk saya putus semangat dan saya rasa banyak lagi anak-anak seni di luar sana yang mungkin pernah terkena, atau menerima nasib yang sama macam saya. Atau, mungkin juga ada yang lebih teruk terkena berbanding apa yang berlaku pada saya. Jujurnya saya anggap ini sebagai asam garam dunia hiburan kita. Bagi saya, ada ramai lagi orang lain yang tak berada dalam industri pun pernah mengalami situasi sebegini. Jadi nak kata menyesal itu, tidak. Saya anggap bagus juga perkara macam ini berlaku pada saya sebab ia membuatkan diri mahu menjadi sangat berhati-hati dengan semua orang sekeliling saya sekarang ini.

Apa yang Andi harapkan dalam persahabatan dan nilai kepercayaan? Sebab orang kata, kepercayaan adalah sesuatu yang kita sukar dapat namun mudah untuk dipecahkan.
Apa yang saya harapkan? Kalau ditanya pada orang lain pun tentu semua orang mengharapkan semua benda yang baik-baik. Kawan yang baik dan jujur. Kawan-kawan yang boleh dipercayai terutama di waktu kita susah dan senang. Kalau nak cakap pasal harapan pada zaman sekarang ini, mungkin adalah sikit. Saya ada juga kawan-kawan rapat lain yang sampai sekarang masih berkawan walau sudah berbelas tahun. Alhamdulillah. Saya dapat nilai-nilai persahabatan itu dengan kawan-kawan lain tetapi bukan dengan si pedajal hidup saya itu. Yang itu, tidak!

Boleh Andi jelaskan, siapa sekarang yang betul-betul Andi berikan akses penuh untuk menguruskan soal kerjaya Andi?
Sekarang, semua akses penuh dari dulu sampai sekarang, hanya satu individu sahaja. Pengurus saya, Nasir Deraman. Dia orang kepercayaan saya. Tentunya saya pun berharap agar antara Nasir dengan saya percayai antara satu sama lain. Itu saja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya