LUMUT: Seorang peniaga produk kecantikan dan barangan China mengalami gangguan emosi selepas gambar dan namanya digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi melakukan penipuan dalam urus niaga Tudung Fazura dan menjadi tular dalam media sosial.
Noor Fadilah Mohamad, 34, mendakwa, perkara itu mula disedarinya pada 30 Ogos lalu apabila seorang rakannya bertanya sama ada dia ada menjual tudung jenama artis popular itu.
Menurutnya, ini kerana ada akaun instagram (IG) dan aplikasi WhatsApp menggunakan profil gambar dan namanya menjual tudung tersebut dan tular sebagai scammer.
“Saya menafikannya kerana tidak menggunakan IG untuk berurus niaga tetapi hanya menggunakan Facebook (FB) untuk menjual produk kecantikan jenama sendiri dan mengimport produk dari China secara sah secara dalam talian, sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Saya pemilik syarikat ASKED Enterprise yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mahu membersihkan nama saya yang tidak terlibat dalam sebarang urus niaga berunsur penipuan,” katanya pada sidang akhbar di Seri Manjung, di sini hari ini.
Noor Fadilah kemudian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 31 Ogos lalu, sebelum Fazura memuat naik IG ‘scammer’ tersebut dalam ‘Instastory’ pelakon itu keesokan harinya.
Dia berasa tertekan dan emosinya terganggu selain bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya selepas gambar dan namanya kemudian dikongsi orang ramai dalam media sosial dan dia percaya ‘scammer’ mengambil gambarnya daripada FB miliknya untuk memperdaya orang ramai.
Ujarnya, walaupun gambar dan nama digunakan adalah sama, tetapi nombor telefon dan akaun bank yang terpapar pada IG dan WhatsApp scammer itu bukan miliknya.
Jelasnya, ini adalah kali kedua pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambarnya untuk penipuan kerana sebelum ini pernah digunakan oleh scammer bagi menjual tudung jenama Leeyanarahman.
“Perkara ini hanya diketahui apabila seorang mangsa menghubungi saya bertanyakan bila saya mahu hantar tudung dan saya memberitahunya yang syarikat saya tidak menjual tudung, sebelum saya membuat laporan polis pada 14 Ogos lalu,” jelasnya.
Dia percaya kedua-dua kes penipuan itu melibatkan individu yang sama dan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu menjejaskan perniagaaan sebenarnya yang dilakukan secara kecil-kecilan.
Noor Fadilah turut meminta orang ramai yang terpedaya dengan penipuan tersebut agar membuat laporan polis agar individu terlibat dapat ditangkap.
Ibu kepada tiga anak itu memberitahu dia sendiri ada menghubungi scammer tersebut tetapi tidak dilayan.
Sebelum ini, Fazura, 38, menerusi perkongsian dalam InstaStory miliknya mendedahkan ada pihak sudah cuba mengambil kesempatan menipu orang lain daripada populariti penjualan tudung jenamanya.
Pelakon filem Dendam Pontianak itu dilaporkan berkata, penipu itu sebenarnya sudah melakukan perbuatan jahatnya sejak beberapa bulan lalu, namun semakin mengganas sejak akhir-akhir ini.
“Dia dah ambil banyak duit orang. Dia gunakan bahan macam katalog untuk menipu dan ramai yang terpedaya. Caranya, dia pujuk pelanggan dengan mengatakan stok masih ada walaupun sebenarnya koleksi yang didakwanya itu sudah lama kehabisan stok.
“Kemudian dia minta pembeli membayar dengan cara transaksi sebelum menyekat nombor semua pelanggan yang selesai membuat bayaran,” dedahnya dalam Instastory itu sambil berkongsi IG pihak yang didakwa menipu itu. – UTUSAN ONLINE