PORT DICKSON: Sikap pengunjung pantai terutama dalam hal menguruskan sampah sama ada dalam penggunaan plastik dan amalan kitar semula di Negeri Sembilan, masih perlu diperbaiki.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari berkata, walaupun tahap kesedaran itu wujud tetapi masih ramai yang dilihat leka dalam menjaga kebersihan termasuk di kawasan tumpuan pelancong.
“Memang apabila Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 dan Fasa 3 serta orang ramai diberi kelonggaran mengadakan aktiviti termasuk di pantai Port Dickson, terdapat peninggalan sampah daripada aktiviti perkhemahan serta perkelahan.
“Sebanyak 221 unit tong sampah beroda dan berpusat disediakan di sepanjang pantai peranginan ini. Tahap kebersihan dan keprihatinan pengunjung masih boleh diperbaiki dalam aspek menjaga kebersihan pantai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembersihan Pantai Sempena Hari Kebersihan Sedunia 2021 di Pantai Saujana, di sini hari ini.
Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mohd. Es; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon dan Pengurus Operasi Wilayah, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Negeri Sembilan, Tee Wei Ming.
Sementara itu, Mohd. Zahir menjelaskan, program pembersihan pantai anjuran SWM berkenaan melibatkan kira-kira 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) .
“Ia sebagai salah satu langkah bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dan kesan pembuangan sisa pepejal di pantai terhadap habitat marin serta sekitarnya.
“Dalam program ini, sisa pantai yang dibersih dan dikutip akan ditimbang dan direkodkan bagi melihat jumlah sisa yang dijana di pantai oleh pengunjung dan sisa marin yang mendarat di laut,” katanya sambil memberitahu sebanyak 70 kilogram sampah yang boleh dikitar semula dikutip dalam program berkenaan.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kawasan tempat pelancongan seperti pantai Port Dickson yang bersih ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula dicemari sampah sarap sebaik sahaja ia dibuka semula untuk kunjungan orang ramai. – UTUSAN ONLINE