Penghantar barang edar dadah dihukum gantung - Utusan Malaysia

Penghantar barang edar dadah dihukum gantung

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penghantar barang selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hafizul Rashid Emmy, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pemilikan dadah.

Hakim Collin berpuas hati, pihak pembelaan juga gagal menyangkal imbangan kebarangkalian berhubung anggapan mengedar dadah di bawah Seksyen 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, tertuduh dilihat tidak dapat menahan kesedihan manakala seorang wanita yang duduk di galeri awam dipercayai ahli keluarganya pula dilihat sebak.

Muhammad Hafizul didakwa mengedar kanabis seberat 299.09 g di sebuah rumah di Bandar Tasik Selatan, Cheras di sini pada pukul 11.50 malam 8 Mac 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan.

Enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Suzana Norlihan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN