Penduduk Taman Seremban 3 bimbang terdengar ngauman harimau

Penduduk Taman Seremban 3 bimbang terdengar ngauman harimau

TIMBALAN Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Ismail Abdullah (kiri) bersama Pembantu Hidupan Liar Perhilitan, Nor Azura Zakaria (kanan) meninjau jejak haiwan di kawasan belukar berhampiran Taman Seremban 3, Seremban, hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Taman Seremban 3 di sini, kini bimbang dengan keselamatan mereka selepas mendakwa mendengar bunyi ngauman seakan harimau sejak malam semalam.

Seorang penduduk, Khadijah Elias, 34, berkata, dia turut mendengar bunyi ngauman tersebut pada pukul 8.30 pagi tadi dari kawasan belukar yang terletak berhampiran dengan rumahnya semasa hendak keluar.

“Semasa membuka pintu pagar, saya terdengar bunyi ngauman harimau, saya dengar lebih dua kali kerana macam bunyi berdengung dan saya segera masukkan anak ke dalam kereta.

“Saya masuk ke dalam rumah semula untuk mengambil telefon kerana mahu merakam bunyi tersebut namun tidak sempat kerana bunyi tersebut sudah tiada lagi. Saya terus menghubungi pihak Jabatan Perhilitan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menyiasat perkara itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Khadijah juga memaklumkan, sejak dua hari lalu, dia turut kerap mendengar bunyi salakan anjing antara pukul 2 hingga ke 3 pagi

Seorang lagi penduduk, Khairul Husni Shamsudin, 44, berkata, dia turut mendengar bunyi seakan harimau kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

“Ia seakan bunyi harimau mengaum, lama juga ia berbunyi, ia berhenti kemudian berbunyi semula, ia berulang-ulang.

“Sebelum ini memang tiada bunyi ngauman tersebut bagaimanapun sehari dua ini, bunyi salakan anjing-anjing liar di kawasan perumahan ini pada waktu malam luar biasa, seolah-olah ia menjumpai dan terserempak dengan sesuatu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)  Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi dan hanya banyak menjumpai kesan tapak kaki babi hutan di dalam kawasan belukar tersebut.

Bagaimanapun, untuk langkah keselamatan, pihaknya telah memasang kamera perangkap bagi mengesahkan dakwaan kehadiran dan spesies harimau di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun buat masa ini, kami menafikan kehadiran haiwan tersebut, lagipun di situ berhampiran dengan kawasan perumahan dan tidak logik ia berkeliaran di kawasan tersebut kecuali terdapat mangsa untuk haiwan tersebut seperti kambing dan sebagainya.

“Setakat ini kami tidak boleh mengesahkan tanggapan penduduk itu namun sekiranya mereka ada terserempak dengan haiwan itu, segera hubungi Jabatan Perhilitan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng berkata, dia dimaklumkan oleh penduduk setempat pagi tadi yang mengatakan terdapat harimau di kawasan belukar berhampiran tempat tinggal mereka.

“Saya bersama pihak Jabatan Perhilitan telah mengadakan tinjauan lokasi yang didakwa penduduk terdapat harimau dan terdengar bunyi haiwan berkenaan. Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan tapak kaki harimau di kawasan itu.

“Aduan mengenai harimau itu adalah pertama kali saya terima dan saya berterima kasih kepada pihak Jabatan Perhilitan atas tindakan pantas mereka. Bagaimanapun saya berharap kepada penduduk di kawasan ini untuk sentiasa berhati-hati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya