PONTIAN: Kira-kira 4,000 penduduk di beberapa buah kampung meminta Kementerian Kesihatan membuka semula Klinik 1Malaysia yang pernah beroperasi di Kampung Seri Menanti, Pekan Nanas, di sini.
Mereka menyifatkan, penutupan klinik tersebut disebabkan pertukaran kerajaan pada tahun 2018 telah menyukarkan penduduk mendapatkan rawatan awal.
Seorang penduduk, Norazhar Ahmad, 47, berkata, pembukaan klinik tersebut telah memberikan kemudahan kepada penduduk dari Kampung Parit Haji Adnan, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya, Parit Pak Khalib dan Kampung Seri Menanti.
Selain itu, katanya, ada juga pesakit datang dari Kampung Seri Gunong Pulai, Kampung Seri Gunong Pulai 2, Kampung Bakar, Kampung Jaya Sepakat, Kampung Sawah dan Kampung Maju Jaya.
“Ini menunjukkan pembukaan Klinik 1Malaysia ketika itu amat menepati keperluan penduduk yang memerlukan perkhidmatan kesihatan berhampiran dan mudah untuk dikunjungi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Tambah Norazhar, kedatangan seorang doktor pada setiap minggu juga memudahkan mereka yang menghidapi penyakit untuk mendapatkan rawatan susulan tanpa perlu ke Pekan Nanas atau pun bandar Pontian.
Bagi Othman Tugiman, 70, yang tinggal di Kampung Seri Gambut berharap kerajaan pada hari ini dapat menghidupkan semula Klinik 1Malaysia yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, kedudukan Klinik 1Malaysia di Kampung Seri Menanti amat mudah dikunjungi dan orang ramai boleh terus mendapatkan rawatan terutama kaum ibu bersama anak-anak mereka yang menunggang motosikal.
Katanya, ini kerana suami mereka pada siang hari kebanyakan bekerja di kebun kelapa sawit, kebun sayur dan sektor pertanian lain yang membataskan pergerakan mereka untuk ke klinik.
“Amat sesuai dan memudahkan orang ramai tanpa ke Klinik Kesihatan di Pekan Nanas yang jauh kira-kira 15 atau 20 kilometer selain menempuh perjalanan yang sibuk melalui jalan utama di Kampung Sawah,” ujarnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan.
Tambah Othman, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini, kewujudan Klinik 1Malaysia akan dapat menjimatkan perbelanjaan mereka yang boleh digunakan untuk tujuan lain.
Bagi Muhammad Hakim Abdul Razak, 21, dari Kampung Seri Menanti, pembukaan Klinik 1Malaysia sebelum ini telah menghidupkan persimpangan empat yang terletaknya klinik tersebut pada ketika itu.
Katanya, persimpangan empat tersebut diibaratkan sebagai ‘pekan mini’ bagi penduduk dari kampungnya, Kampung Parit Haji Adnan, Kampung Paya Embun dan Kampung Melayu Raya selain Ladang Kelapa Sawit Peninsula Plantation.
“Memang perlu kami masyarakat luar bandar mendapat kemudahan klinik di sini kerana jarak perjalanan ke Pekan Nanas mengambil masa 20 hingga 25 minit dan 35 minit pula jika ke Bandar Pontian,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE