PETALING JAYA: Vokalis kumpulan nyanyian terkenal Caliph Buskers, Azmi Saat memaklumkan isteri tercintanya, Naziah Muhammad selamat menimang cahaya mata sulung mereka, semalam.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Tulus itu berkongsi khabar gembira berkenaan dengan memuat naik satu gambar dia bersama bayinya.
Menurut Azmi, dia menitipkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana penantian mereka selama sepuluh tahun untuk menimang anak akhirnya dimakbulkan Allah.
“Alhamdulillah, jam 9:09 pagi tadi (semalam), anak sulung saya telah selamat lahir ke dunia. Urusan pembedahan berjalan lancar.
“Macam-macam perasaan ada bila pertama kali terdengar suara bayi. Syukur ya Allah. Moga saya dapat menjadi ayah yang baik.
“Terima kasih atas doa kalian yang tidak putus-putus buat kami sekeluarga,” kongsinya di Instagram.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan rakan artis mengucapkan tahniah buat pasangan tersebut sekaligus mendoakan agar bayi sentiasa sihat.
Sekadar informasi, pasangan dua sejoli itu telah mendirikan rumah tangga mereka, pada tahun 2011.