PETALING JAYA: Kadar pengangguran negara dijangka menurun kepada 3.5 peratus berbanding 4.8 peratus ekoran pembukaan semula sektor ekonomi terutama pelancongan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut disokong sumbangan positif pembukaan semula sektor ekonomi terutama pelancongan dalam negara.
“Secara langsung ini mewujudkan permintaan yang lebih tinggi bagi pasaran buruh dan bakal berlaku lonjakan dalam perbelanjaan mereka dan kesan ekonomi berganda.
“Jika dilihat berdasarkan data perbelanjaan pelancong dalam negara sebelum pandemik Covid-19 melanda negara adalah sebanyak RM80 hingga RM90 billion bagi tempoh setahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Berdasarkan Laporan Tenaga Buruh bagi Julai 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar pengangguran kekal 4.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK).
Malah pasaran buruh semakin beransur pulih sejak awal tahun ini yang mana kadar pengangguran berkurangan kepada 4.5 peratus pada Mei 2021 daripada 4.9 peratus pada Januari 2021.
Tambah Mohd. Uzir, kelonggaran pergerakan itu bukan sahaja dapat menggerakkan semula sektor ekonomi malah peluang ekonomi rancak agak tinggi dengan peningkatan luar biasa.
“Hal ini dapat dilihat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada Mac tahun lalu ditamatkan, yang mana peningkatan pasaran sektor ekonomi kembali meningkat dengan mendadak .
“Ini amat positif, sekiranya kerajaan dapat meluaskan lagi kelonggaran rentas negeri (bersyarat) bagi seluruh negara, pastinya ia akan membawa satu lagi impak positif kepada ekonomi.
“Jika dilihat bagi negeri Lembah Klang sahaja telah menyumbang lebih 40 peratus bagi pergerakan ekonomi negara. Jadi jika negeri lain dapat diberikan kelonggaran seperti mana di Lembah Klang, ia akan lebih merancakkan ladi sektor ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpandangan, kadar pengangguran di negara bakal menurun kepada 3.5 peratus dengan adanya pembukaan sektor ekonomi ini.
“Apabila sektor ekonomi dibuka secara meluas, maka ianya akan mewujudkan kembali peluang pekerjaan baharu dan akan mengurangkan pengangguran secara langsung.
“Khasnya, apabila sektor pelancongan dibuka, ia memberi manfaat bukan sahaja kepada pengusaha tempat penginapan, malah spillover dinikmati oleh sektor pengangkutan, makanan dan banyak lagi sektor,” katanya. – UTUSAN ONLINE