SHAH ALAM: Pemandu Mitsubishi Triton yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan di sini, semalam direman enam hari bagi membantu siasatan.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam satu kenyataan memaklumkan, tahanan reman ke atas suspek berusia 24 tahun itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
“Reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah berkenaan sehingga 17 September ini.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, saksi yang merakam video kejadian turut tampil bagi membantu siasatan.
“Individu berkenaan tampil kira-kira pukul 9 malam tadi.
“Saksi hadir bersama dua rakannya yang bersama-sana berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya.
Semalam, dua remaja maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pikap Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus di lebuhraya tersebut.
Mangsa, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dan penumpang, Muhammad Hafiz Syami Dzul Asri, 19, mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Pasukan bomba yang menerima panggilan pada pukul 1.51 pagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit pada bahagian depan kereta dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib memaklumkan, ujian air kencing terhadap pemandu Mitsubishi itu didapati positif dadah jenis ganja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lebih memilukan, Allahyarham Muhammad Hafiz dikatakan sempat memuat naik status memohon maaf di aplikasi WhatsApp tiga hari sebelum kejadian.
Tindakan Allahyarham itu disifatkan seolah-olah memberi petanda akan pergi buat selamanya. – UTUSAN ONLINE