SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kren maut apabila motosikal ditungganginya merempuh seekor lembu di Kilometer 91.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Bedong dekat sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, Qhairul Idham Baharuddin, 27, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pulau Pinang ke rumahnya di Taman Gurun Jaya, Gurun, dekat sini.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar seekor lembu yang berada di lorong kiri laluan menyebabkan dia terpelanting sebelum terjatuh ke atas cermin hadapan sebuah kereta Proton Pesona.
“Lembu yang dipercayai dari bahu jalan dan masuk ke kawasan lebuh raya itu kemudiannya turut dilanggar kereta Proton Persona dinaiki sepasang suami isteri, mereka bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Anuar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian selain menjalani ujian saringan Covid-19. – UTUSAN