KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus membantu pelajar asing di Malaysia untuk memperbaharui visa masing-masing, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.
Jelasnya, usaha kerajaan itu adalah supaya mereka boleh menyambung pengajian di negara ini, sekali gus mereka yang terlibat boleh berhubung secara terus dengan Jabatan Imigresen untuk urusan pembaharuan visa.
“Kita tidak akan bertindak kejam dan keterlaluan tapi kita akan berikan khidmat nasihat yang sewajarnya bagi membolehkan kerjasama antara negara dan negara luar, yang mahu menjadikan Malaysia antara hab pendidikan yang terkenal,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Dr. Maszlee Malik (BEBAS-Simpang Renggam) berhubung kedudukan pelajar asing yang sudah tamat visa.
Selain itu, Ismail turut menjelaskan yang pihaknya kini sedang bekerjasama rapat dengan negara sumber untuk menghantar pulang Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke negara asal, dalam masa yang sama vaksinasi turut diberikan kepada mereka.
“Kementerian Dalam Negeri kita telah berhubung dengan negara-negara sumber dan bersetuju untuk kita membuat program penghantaran pulang untuk memberikan pengesahan dokumentasi mereka. Apabila mereka pulang dan mereka boleh buat proses untuk kembali ke dalam negara kita.
“Kita tidak mengambil tindakan yang begitu sejam. Sebagai contoh, beberapa negara, Filipina, Indonesia. ada puluhan program untuk penghantaran pulang telah kita lakukan. Dan ini mendapat kerjasama yang cukup baik dengan negara-negara sumber kita,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan M. Kulasegaran (Ipoh Barat) yang bertanya tentang tindakan kerajaan berhubung pemberian vaksin kepada PATI dan dalam masa yang sama membuat tangkapan terhadap mereka. – UTUSAN