BUKIT MERTAJAM: Meskipun telah merekodkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 sehingga hari ini, Pasar Awam Taman Selamat di Seberang Perai Tengah (SPT) yang ditutup selama 10 hari sejak minggu lepas, dijangka dibuka semula seperti yang dijadualkan iaitu pada Khamis ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pembukaan semula itu bertujuan membolehkan mana-mana peniaga atau pembantu mereka yang negatif serta tamat tempoh kuarantin beroperasi seperti biasa.
Katanya, MBSP berharap dengan pembukaan sepenuhnya operasi perniagaan di pasar awam berkenaan mampu merancakkan kembali aktiviti perniagaan di lokasi tersebut sama seperti beberapa pasar awam di Seberang Perai yang pernah ditutup buat sementara waktu.
“Pembukaan semula operasi ini juga dijangka memberi manfaat kepada 155 peniaga yang menjalankan perniagaan di dalam pasar awam dan 15 orang peniaga di luar bangunan pasar awam ini,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, sebagai langkah berjaga-jaga, peniaga yang telah disahkan negatif bagaimanapun tidak dibenarkan untuk kembali beroperasi jika pembantu mereka pula yang dikesan positif.
“Dalam hal ini, para majikan (pemilik premis) tersebut diminta untuk menutup sementara operasi jualan mereka iaitu selama 10 hari juga bermula daripada tarikh pembantu mereka disahkan positif untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran semula virus Covid-19 di lokasi tersebut,” ujar beliau.
Sementara itu katanya, Pasar Awam Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) pula menjadi pasar awam terbaharu di Seberang Perai yang terpaksa ditutup dalam usaha untuk mencegah penularan Covid-19.
Beliau berkata, ia susulan pengesanan sekurang-kurangnya empat kes positif melibatkan tiga orang peniaga serta seorang pembantu perniagaan di situ.
Sehubungan itu katanya, pasar awam berkenaan diminta menghentikan operasi mereka selama tiga hari atau sehingga dimaklumkan semula bermula Rabu ini bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi serta pengesanan kontak rapat dijalankan.
Untuk rekod, sehingga kini terdapat 17 buah pasar awam termasuk sebuah kompleks penjaja di Seberang Perai yang terpaksa ditutup akibat Covid-19 dengan 15 daripadanya telah dibuka semula kecuali Pasar Awam Taman Selamat dan Pasar Awam Sungai Dua. – UTUSAN ONLINE