KUALA LUMPUR: Parti-parti politik pembangkang dari Sabah dan Sarawak boleh menggunakan logo masing-masing dan tidak melibatkan logo rasmi gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hal itu termasuk parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang boleh menggunakan logonya walaupun parti itu sudah menyertai PH secara rasmi, baru-baru ini.
“Keputusan tentang logo (untuk digunakan dalam pilihan raya umum) tidak merangkumi Sabah dan Sarawak sebab ada autonomi (untuk membuat keputusan).
“Perkara ini akan diputuskan oleh parti Sabah dan Sarawak sendiri (sama ada menggunakan logo parti masing-masing),” katanya menerusi Webinar bertajuk Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi UPKO Malaysia, malam ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan diajukan pengacara rancangan yang juga Setiausaha Agung UPKO, Nelson W. Angang berkenaan logo yang digunakan parti-parti komponen pembangkang sama ada logo rasmi PH atau logo parti masing-masing pada PRU-15.
Webinar itu disertai pemimpin parti-parti komponen PH lain iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, beberapa pemimpin UPKO serta ditonton lebih 1,000 pengguna Facebook.
Pada 26 Ogos lalu, UPKO yang pernah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dan meninggalkan gabungan itu selepas PRU-14, mengumumkan menjadi parti komponen baharu PH sekali gus memperkukuh kerjasama dalam persiapan menuju PRU-15.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, sebaiknya semua parti politik yang sehaluan bersepakat menggunakan satu logo sahaja pada pilihan raya umum.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, penggunaan logo tunggal diyakini berkesan untuk bertanding sekali gus memenangi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini terbukti berkesan dari bertanding dalam kelompok berasingan yang mungkin juga akan mengelirukan pengundi (sewaktu membuang undi nanti).
“Pembangkang mestilah ada kesepakatan dan ini juga telah dipersetujui dalam deklarasi yang dilakukan di Port Dickson sebelum ini. Bukan PH sahaja tetapi semua pembangkang. Kalau berpecah ia hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.
Dalam soalan berasingan, ditanya sama ada PH akan mempelawa Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyertai gabungan berkenaan, Mohamad menyerahkan kepada Warisan untuk membuat keputusan.
“Kita (PH) akan berbincang dengan sesiapa sahaja dan parti itu yang ambil keputusan (untuk sertai PH atau tidak). Bagi kami, kami mahukan kekuatan terutama untuk membentuk, sekurang-kurangnya ada 112 sokongan ahli Parlimen.
“Jadi, mahu capai sasaran ini kita mahu rakan-rakan pembangkang dari Sabah dan Sarawak akan memenuhinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE