KUALA LUMPUR: Keputusan menurunkan harga kit ujian kendiri Covid-19 harus dilaksanakan dengan teliti dan tidak tergesa-gesa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan belum bercadang menurunkan harga kit ujian tersebut kerana perlu mengambil kira pandangan semua pihak di samping mewujudkan situasi menang-menang.
“Dalam kita memberikan perlindungan kepada pengguna supaya bebas daripada jangkitan, kementerian juga mengambil kira sudut pandangan industri berkaitan supaya dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.
“Kementerian akan membuat sesi libat urus dengan Kementerian Kesihatan dan mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk fasiliti farmasi dan klinik. Dari kos pengeluaran dan import juga perlu diambil kira sebelum kita merumuskan harga maksimum yang baharu,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga maksimum kit ujian kendiri secara berperingkat daripada harga siling yang telah ditetapkan pada RM19.90.
Terdahulu, harga asal bagi kit ujian kendiri Covid-19 ialah RM35 hingga RM39.90 namun disifatkan terlalu mahal setelah kerajaan menerima banyak rungutan serta desakan untuk menurunkannya.
KPDNHEP kemudian memutuskan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit berkuat kuasa 5 September lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye sebelum ini menyifatkan harga tersebut masih membebankan bagi keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang ramai. – UTUSAN ONLINE