PETALING JAYA: Hampir 10,000 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac tahun lalu.
Jumlah kes keganasan rumah tangga yang direkodkan sepanjang tahun lalu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding tahun 2019.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha mempromosikan Talian Kasih dapat mendekati mereka yang menjadi mangsa atau terkesan daripada keganasan rumah tangga.
“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumah pada tahun 2020 adalah 5,260 kes, ada penurunan jika dibandingkan pada 2019 iaitu 5,657 kes. Bagi tempoh Januari hinga Ogos, jumlah yang direkodkan adalah 4,905 kes.
“Sejak PKP bermula dari Mac 2020 sehingga Disember 2020 dicatatkan 4,110 kes dan daripada Januari hingga Ogos 2021, jumlah kes yang direkodkan adalah 4, 905 kes yang membawa jumlah sebanyak 9,015 kes,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Rina kemudian menerangkan beberapa inisiatif yang diambil oleh kementerian itu untuk membendung dan membantu individu-individu yang terkesan menerusi Talian Kasih yang kini beroperasi setiap hari.
“Kementerian telah memperluas usaha mempromosi aduan dalam talian menerusi Talian Kasih dan aplikasi WhatsApp.
“Perkhidmatan ini beroperasi 24 jam sehingga ‘point of contact’ kepada semua masyarakat bagi mengemukakan aduan, mendapatkan khidmat nasihat serta mengakses bantuan termasuk perkhidmatan psikososial.
“Ini dapat membantu orang awam terutama mangsa yang dilengkapi dengan maklumat utama agar tidak terus berada dalam kitaran keganasan rumah tangga yang mengancam diri sendiri, keluarga serta mendorong mana-mana pihak yang terkesan untuk membuat laporan,” katanya.
Untuk Mac 2020 sehingga Disember 2020, sebanyak 2,286 aduan yang telah dicatatkan dan untuk Januari hingga Ogos 2021, sebanyak 2,248 aduan direkodkan. – UTUSAN ONLINE