PETALING JAYA: Pelakon hebat, Noorkhiriah menasihatkan kepada segelintir pihak agar tidak memanipulasi wanita bertudung untuk mempromosikan produk yang tidak bersesuaian atau yang boleh mencalar imej golongan tersebut.
Pemilik nama sebenar Noorkhiriah Ahmad Shapie, 49, yang meluahkan pandangan tersebut di Instagramnya baru-baru ini berharap agar tindakan itu dapat dihentikan agar maruah wanita khususnya yang bertudung tidak diperkotak-katikkan.
“Sesiapa yang nak buat review produk besar ke, kecil ke apa ke, tolong elakkan wanita bertudung boleh tak? Menjatuhkan maruah.
“Atau engkau orang saja memang nak menjatuhkan maruah wanita bertudung? Sebab itu, bertudung itu menutupi dada, labuh. Bila dah labuh, tak perlu tergoyang-goyang sebab tetap akan nampak.
“Buat relax sudah, semua orang tahu apa disebalik tudung. Pakai tudung ikat leher lepas itu tergoyang-goyang. Motif apa?” tegurnya.
Kata Noorkhiriah lagi, sebagai wanita, mereka perlu saling hormat menghormati dan menjaga maruah wanita yang lain.
“Saya tak nak cakap besar, tetapi selagi punya kudrat, walaupun makan kicap sekalipun saya tak akan buat review sebegini.
“Memang ada yang suka, tetapi Allah murka. Tolonglah, saya tak nak butakan mata, akhirat nanti semua Allah tanya.
“Saya sayang semua wanita, jagalah maruah kita,” tulisnya lagi.