IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat yang berminat menaja Perak FC bagi musim hadapan.
Pemangku Presiden Pafa, Datuk Mohamad Yadzan Mohamad berkata, pertemuan tersebut akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Tambah beliau, setakat ini dua syarikat menyatakan minat untuk membeli saham milik Pafa.
“Kita akan adakan pertemuan dengan pihak berminat sedikit hari lagi,” katanya.
Menurutnya pertemuan itu akan membabitkan naib-naib Presiden Pafa, Perak FC dan wakil Kerajaan Negeri.
“Saya berharap pertemuan ini akan berjaya agar usaha membentuk semula pasukan Perak bagi menghadapi musim hadapan dapat dilakukan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti kedua-dua syarikat itu yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Namun sebelum ini, Pengurus Besar (GM), Azman Noh memaklum bahawa sebuah syarikat iaitu Kopa Group berminat untuk memiliki saham Perak FC.
Yadzan menyifatkan ia perkembangan sihat bagi bola sepak negeri itu selepas melalui pelbagai kemelut utama sekali isu kewangan.
Beliau juga berkata usaha memperkemas struktur pentadbiran dan pengurusan Pafa akan dapat dilaksanakan termasuk mengadakan kongres tahunan bagi pemilihan pemegang jawatan baharu.