PETALING JAYA: Orang kenamaan tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah menjelang pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini.
Berdasarkan garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 3.0, hanya warga sekolah masing-masing sahaja dibenarkan berada di kawasan sekolah pada waktu sesi persekolahan.
Kata garis panduan itu, ia bagi menjaga keselamatan murid, guru dan warga sekolah.
“Pentadbir bertanggungjawab memastikan pihak luar yang bukan warga Kementerian Pendidikan termasuk orang kenamaan tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah.
“Kecuali bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan sekolah dengan syarat telah divaksin lengkap,” menurut garis panduan tersebut.
Selain itu, sekolah perlu memastikan guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan yang belum divaksin mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Pada masa sama, sekolah juga perlu membuat keputusan untuk menangani isu pengoperasian sekolah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan serta mengambil kira pandangan pihak yang berkaitan seperti Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah.
Pentadbir sekolah juga diminta untuk menjaga kerahsiaan warga sekolah yang disahkan sebagai pesakit Covid-19. – UTUSAN