SHAH ALAM: Orang Asli di Kampung Busut Baru, Kuala Langat berhasrat mewujudkan produk pelancongan agro di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) berikutan kawasan itu merupakan hutan paya gambut.
Selain kaya dengan kepelbagaian biodiversiti, tanah gambut hutan tadahan hujan itu juga dilaporkan menyimpan kira-kira 15 bilion liter air.
Hasrat itu dikongsikan oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli Busut Baru, Samsul Senin yang memberitahu penduduk kampung boleh kongsikan keunikan hutan itu kepada pengunjung.
“Kita mengalu-alukan kedatangan orang luar yang ingin berkhemah dalam HSKLU seperti untuk tujuan kajian atau pelancongan agro dan jika terdapat pengunjung yang hendak buat aktiviti jungle tracking pun Orang Asli boleh bawa.
Sebab kawasan hutan ini sangat luas selain paya gambut, ada haiwan liar yang biasanya bergerak aktif pada waktu awal pagi dan juga lewat petang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari yang membatalkan penyahwartaan HSKLU selepas keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk kampung Orang Asli di Kuala Langat Utara membantah penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU
Selain perlindungan terhadap alam sekitar, penerokaan hutan tersebut dibantah berikutan orang asli mendakwa mempunyai hak ke atas kawasan tersebut yang diwartakan kepada mereka oleh Kerajaan British pada 1927
Dalam pada itu seorang penduduk Kampung Busut Baru, Bonin Baba, 72, memberitahu berasa lega dengan pembatalan penyahwartaan hutan simpan berkenaan kerana terdapat pelbagai hasilnya boleh dijual.
“Banyak tumbuhan herba untuk tujuan perubatan boleh didapati dari dalam hutan itu contohnya daun tapak sulaiman yang digunakan untuk mengubati penyakit berkaitan perut.
“Selain itu terdapat hasil hutan yang dijual seperti rotan, tikar mengkuang dan bakul yang diperbuat daripada batang daun pokok bertam yang daunnya digunakan untuk buat atap rumah,” ujarnya. – UTUSAN