PETALING JAYA: Nuraslina Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah Theta Edge dan Nuraslina akan berkhidmat untuk tempoh dua tahun di syarikat itu, yang merupakan salah satu syarikat perintis di Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT).
Pengerusi Theta Edge, Datuk Noordin Sulaiman berkata, pelantikan berkenaan adalah bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh A. Shukor S.A. Karim yang bersara pada 28 Jun lalu.
“Dengan pelantikan Nuraslina sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu, beliau mengetuai transformasi dan nilai-nilai syarikat untuk pemulihan segera seterusnya menerapkan strategi untuk jangka panjang dan kelestarian,” katanya dalam kenyataan.
Dengan pelantikan Nuraslina sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, status Jawatankuasa Eksekutif dibubarkan serta-merta.
Nuraslina, 46, memperoleh ijazah sarjana muda Sains (Kepujian) dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Menerusi pengetahuan dan kepakarannya, beliau berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang transformasi dan pengoptimuman proses perniagaan syarikat berprestasi tinggi.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Innovation Associates Consulting Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Dagang Nexchange Berhad serta Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Genaxis Group Sdn Bhd.
Menerusi kepemimpinannya, beliau telah berjaya memberikan nilai penjimatan sehingga AS$150 juta dolar kepada para pelanggannya.
Beliau turut menerajui pelbagai projek mega teknologi kerajaan dan terlibat dalam penghasilan inisiatif strategik untuk transformasi digital.
Hasil pencapaian tersebut, beliau telah dianugerahkan beberapa pengiktirafan di atas usahanya sebagai usahawan dan usahawan tekno serta merupakan fasilitator di peringkat kebangsaan termasuklah antarabangsa. – UTUSAN ONLINE