“Niat saya untuk menghiburkan orang...” - Iman Troye - Utusan Malaysia

“Niat saya untuk menghiburkan orang…” – Iman Troye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MATANG. Itu pujian awal saya mahu berikan kepada penyanyi muda, Iman Troye. Di tangga usia 19 tahun, dia menyusun jawapan penuh tertib dan bijak. Barangkali, budak muda sekarang memang bijak-bijak belaka.

Sejujurnya saya tidak mengenali rapat Iman. Tetapi yang pasti, single sulungnya Teman acap kali dimainkan di radio. Membuatkan saya ketika itu tertanya-tanya, siapa Iman Troye sebenarnya?

Bukan apa, di kala ada segelintir anak muda yang masih terkapai-kapai mendaki puncak populariti, Iman dengan dilihat mudah memegang tampuk antara penyanyi wanita muda yang punya masa depan cerah.

Mungkin kerana lagunya senang ‘tangkap’. Dua tiga kali dengar, sudah boleh hafal. Tetapi sebenarnya, keperibadian dan personaliti ramah Iman antara sebab ramai yang selesa berkawan dengannya.

Peminat juga mudah jatuh cinta. Sementelah, dia memang suka melayan pecinta maya. Orang muda, kalau tidak di sosial media mana lagi mereka akan meluangkan masa. Lagi-lagi zaman pandemik.

Soalan pertama saya mudah, di usia yang cukup muda, bagaimana dia mengendali populariti? 1.8 juta jumlah pengikut di Instagram dan lebih 50 juta tontonan di Youtube, perhatian yang diterima bukan calang-calang.

“Bagi saya, semua itu adalah rezeki. Saya lihat dari sudut positif. Saya sendiri tidak pernah rasa 1.8 juta pengikut itu sesuatu yang harus dipandang tinggi. Tanggungjawab itu besar. Saya tidak mahu mensia-siakan peluang itu.

“Saya suka berkongsi. Apa yang berlaku dalam hidup, saya kongsikan untuk peminat. Saya anggap itu sebagai cara untuk lebih dekat dengan mereka. Cara kita berinteraksi, menghormati dan melayan peminat itu penting. Saya suka perkara itu.

“Niat saya masuk industri adalah untuk menghiburkan. Saya mahu semua gembira. Tidak ada elemen negatif dan kalau boleh, industri seni ini penuh warna warni kegembiraan. Bukankah itu sesuatu yang diimpikan semua?” jawabnya.

Lantas saya ajukan soalan kedua. Bukankah perkongsian dalam media sosial boleh mengundang kecaman dan lebih parah, terus ‘dibatalkan’ oleh peminat. Adakah dia sangat berhati-hati dalam memuat naik gambar atau video? Sementelah bukan sekali dua dia terjebak isu sama.

Beberapa kali dia dikecam dek ciapan atau gambar yang dimuat naik kurang menepati piawaian jabatan netizen. Lantas, kecaman dan kritikan membanjiri ruang media sosialnya untuk beberapa hari. Namanya sohor kini dalam media sosial.

“Kalau cakap soal itu, memang saya cukup waspada sebelum muat naik apa-apa. Tanya keluarga dan sahabat dekat. Bukan takut cuma kalau boleh saya mahu elakkan perbalahan dan negativiti di media sosial. Kita tidak tahu apa yang mereka fikir.

“Cuma saya pujuk diri sendiri dengan percaya, di kala pandemik ini media sosial adalah platform lepas geram mereka. Jadi apa sahaja yang boleh mengundang kritikan, pasti akan jadi sasaran. Sebab itu saya sekarang lebih berhati-hati,” katanya.

Belajar tentang hidup

Bertugas sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Shah Alam tempoh hari memberikan satu perspektif berbeza tentang kehidupan kepada Iman. Dia belajar tentang menyantuni masyarakat dan paling penting, mencintai ibu bapa.

Meluahkan rasa sedih apabila melihat ada warga emas yang melangkah sendiri mengambil vaksin, dia tertanya-tanya tiadakah rasa simpati dan kasihan dalam jiwa anak-anak mereka? Membiarkan ibu dan bapa seorang diri mengambil suntikan vaksin.

“Pengalaman di PPV adalah antara yang paling manis dalam hidup saya. Saya jumpa ramai orang dan pastilah, masing-masing punya kerenah sendiri. Ada yang lari tak mahu dicucuk, marah petugas malah ada yang minta jarum paling kecil sebab takut.

“Tapi saya tak boleh lupa pengalaman melihat beberapa warga emas yang hadir seorang diri ke PPV. Nasib baik ada petugas dan sukarelawan yang bantu mereka. Ada yang mengadu anak tak mahu teman. Sedih sangat saya ketika itu.

“Balik rumah terus saya pesan ke ibu dan ayah untuk ajak kami adik beradik sekiranya mahu divaksin nanti. Saya tak sanggup tengok mereka ke sana seorang diri,” kongsinya.

Namun dalam pada masa sama, pastinya kehadiran penyanyi muda popular seperti Iman di PPV mengundang perhatian. Ramai peminat teruja melihat penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini berdiri sebagai petugas sukarelawan di situ.

Menganggap itu perkara biasa, bagi Iman, orang ramai sudah lama ‘dikurung’ di rumah dan pastinya, sekali sekala keluar pasti akan teruja. Apatah lagi bertemu selebriti yang mereka kenali.

“Memang ada yang tegur, ajak bergambar. Itu perkara biasa. Cuma banyak ilmu tentang hidup yang saya peroleh di situ. Kami seperti adik beradik tau. Tetapi sekarang saya sudah tamat bertugas. Jadi rindu itu pasti, sangat seronok bertugas di situ,” katanya.

“Tunggu dan lihat”

Diajak berbual soal pendatang baharu, di kala ini wujud segelintir pihak yang kurang yakin dengan kemampuan mereka. Dikatakan tidak akan bertahan lama, hanya popular seketika cuma berdasar tempoh lagu dimainkan, Iman ada pendapat sendiri.

“Saya tak setuju jika ada yang cakap pendatang baharu menjadikan industri ini satu persinggahan. Bagi saya, setiap artis yang masuk industri ada kelebihan sendiri. Bagi masa dan peluang untuk kami buktikan kemampuan serta bakat.

“Setiap kami mempunyai potensi. Mana mungkin baru masuk industri setahun dua akan terus hebat? Kami juga perlukan masa untuk mencari pengalaman dan sebanyak mana ilmu yang ada,” katanya.

Di akhir perbualan, saja saya mengusik gadis muda ini soal percintaan. Hanya tergelak, Iman seperti sudah mengagak arah perbualan kami. Tanpa berlengah, saya terus bertanya; sudah ada teman lelaki kah?

“Ala abang, jawapan klise saya bagi. Saya mahu fokus kerjaya dahulu. Soal cinta kemudian. Tetapi kalau abang tanya bila mahu kahwin, saya letak sasaran usia 30 tahun.

“Saya kalau boleh mahu bercinta lepas kahwin. Kenal dahulu sebagai sahabat. Orang kata bercinta lepas kahwin ini lebih manis? Tapi itulah, saya muda sangat lagi. Tak mahu serabut otak fikir soal cinta. Gitu!” katanya.

Lima tahun akan datang

“Siapa saya lagi lima tahun? Susahnya soalan abang. Sejujurnya saya tidak ada jawapan. Apatah lagi jaminan. Mungkin masih dalam industri. Mungkin juga tidak.”

Itu jawapannya tatkala soalan soal siapa Iman Troye lima tahun akan datang diajukan. Dia mengambil masa juga untuk menjawab. Mungkin harus menyusun ayat dengan baik. Tidak mahu berbunyi terlalu mengharap yang indah-indah belaka.

Bagi Iman, dia sebolehnya mahu berharap kerjaya seninya akan terus mekar namun dalam pada masa yang sama, dia sedar kejayaan itu menuntut pengalaman. Hati juga harus tegar dan tidak mudah mengalah walau dilanda badai kontroversi.

“Saya mahu kekal dalam industri bukan hanya untuk lima tahun tetapi untuk lebih lama lagi. Tetapi saya masih lagi merangkak, belum belajar bertatih lagi. Itu memerlukan masa yang panjang, Insya-Allah satu hari nanti impian itu akan terlaksana.

“Kalau ada rezeki, memang teringin nak bertanding di pentas besar macam Anugerah Juara Lagu. Takut sebenarnya tetapi saya memang mengimpikan itu. Doakan perjalanan saya dipermudah. Semoga saya kekal dalam landasan yang sama,” pintanya.

Bercakap soal kerjaya, Iman juga bakal melancarkan single baharu tidak lama lagi. Tidak jauh beza daripada genre catchy seperti lagu Teman sebelum ini, lagu baharunya menyuntik elemen Jawa bagi menyerlahkan lagi keunikkan karya tersebut.

“Saya sangat teruja sebenarnya untuk melancarkan single baharu ini. Sesuatu berbeza. Tetapi saya tahu, ramai yang menantikan lagu bergenre balada kan? Tunggu. Ada sesuatu untuk peminat semua, yang banyak tertanya tentang itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya