SEREMBAN: Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya hari ini hadir ke Mahkamah Majistret Seremban bagi sebutan semula kes pendakwaan atas pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebuah kedai permaidani di Nilai, 2 Mei lalu.
Noor Neelofa dan Muhammad Haris Mohd. Ismail tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2, di sini kira-kira pukul 8.40 pagi.
Yang turut kelihatan peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini, 2 Mei lepas.
Noor Neelofa kemudian dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 oleh mahkamah atas pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021. – UTUSAN ONLINE