KUALA LUMPUR : Nasib 18 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet universiti itu Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui 2 November ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar secara hujahan lisan yang bermula semalam dan hari ini serta hujahan bertulis yang telah dikemukakan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum ini.
“Selepas mengambil kira kelapangan pihak-pihak, mahkamah menetapkan 2 November ini keputusan akhir perbicaraan (pembelaan) pada pukul 10 pagi,” katanya.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 29 Januari 2018 pihak pendakwaan telah memanggil seramai 31 saksi antaranya saksi pendakwaan keenam iaitu Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr. Salmah Arshad.
Bagi perbicaraan bela diri yang bermula pada 2 Oktober 2019 pihak pembelaan telah memanggil seramai 20 saksi termasuk pakar perunding forensik di Hospital Sungai Buloh Dr. Rohayu Shahar Adnan merupakan yang saksi pembelaan ke-19.
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri.
Selain itu ialah Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.
Terdahulu pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh berhujah berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-30 iaitu bekas Pegawai Perubatan UPNM Dr. Harniza Kosnan yang mengatakan sepanjang Zulfarhan berada di UPNM, si mati tidak pernah mengadu kesukaran atau kesesakan nafas atau sakit jantung atau apa-apa sakit selain daripada demam dan sakit lutut.
“Oleh yang demikian pendakwaan menegaskan bahawa keterangan saksi pembelaan ke-19 (Dr. Rohayu Shahar Adnan) langsung tidak mematahkan dapatan saksi pendakwaan keenam (Dr. Salmah Arshad),” kata pendakwaan itu.
Semalam pihak pembelaan berhujah bahawa terdapat percanggahan keterangan antara dua pakar perubatan berhubung kematian Zulfarhan.-UTUSAN ONLINE