Najib, Nazif rayu keputusan Mahkamah Rayuan - Utusan Malaysia

Najib, Nazif rayu keputusan Mahkamah Rayuan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembayaran tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Notis usul untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan semalam melalui Tetuan Shafee & Co.

Perkara itu kemudian disahkan kepada pihak media oleh peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib selaku pemohon.

Dalam notis usul itu, mereka mengemukakan sembilan persoalan undang-undang antaranya menyentuh isu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri dan anaknya memfailkan permohonan kebenaran merayu selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka dengan kos RM10,000 setiap seorang.

Pada 9 September lalu, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Supang Lian sebulat suara memutuskan rayuan mereka tiada merit selepas berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika membuat keputusan itu.

Hakim Abdul Karim berpuas hati Seksyen 106(3) tidak melanggar Perkara 121 dan mahkamah mempunyai kuasa kehakiman untuk mendengar dan memutuskan pertikaian di bawah Seksyen 106 walaupun dalam keadaan beberapa perkara tidak dibenarkan untuk dibangkitkan bagi pertimbangan mahkamah.

Pada peringkat ini, Najib dan anaknya tidak perlu membayar tunggakan tersebut selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan sementara sehingga hari ini bagi membolehkan mereka memfailkan notis kebenaran merayu.

Najib dan Mohd. Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Perintah terhadap Najib dan Mohd. Nazifuddin dikeluarkan pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwanya masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya