KUALA LUMPUR: Pelakon berkaliber, Nad Zainal memuat naik lakonan parodi drama bersiri fenomena Squid Game ketika sedang membuat iklan komersial secara kreatif di Instagramnya, semalam.
Menerusi perkongsian hantaran berkenaan, Nad tampil dengan versi watak ciptaan sendiri iaitu Park Ha Nad yang kononnya memiliki wajah kesan lebam bekas seperti ditampar.
Hasil parodi tersebut, Nad berjaya mencuri tumpuan pemain di Instagram dengan bilangan tontonan sebanyak 171,000 orang.
Majoriti terhibur serta memuji lakonannya, tambah lagi memek muka dan cara sebutan bahasa Korea Nad seakan-akan warga tempatan di sana.
“On tak on? Suka ke idok (tidak)? Method…,” balas komen Nad pada rakan-rakan selebriti lain.
Malahan, parodi seumpama itu bukanlah kali pertama dilakukan pelakon hebat berkenaan. Sebelum ini dia juga pernah melakonkan watak sebagai jurusolek artis di lokasi penggambaran.
Sejak drama bersiri Korea itu ditayangkan di saluran penstriman digital Netflix pada 17 September lalu, naskhah itu berjaya mendapat sambutan hangat oleh penonton di Malaysia. Malah, karya Hwang Dong-hyuk menduduki carta sohor kini di tangga ke 25.