SEREMBAN: Perlawanan terakhir menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC merupakan peluang terbaik buat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk meraih piala kejuaraan selepas kemarau hampir 10 tahun.
Kapten NSFC, Zaquan Adha Abd. Radzak berkata, skuad The Jangs kini hanya perlu memberikan fokus 100 peratus dalam perlawanan terakhir Liga Perdana itu selepas misi bersaing ke Liga Super musim hadapan sudah tercapai.
“Sebenarnya, untuk saya juga hampir 10 tahun tidak julang piala, perlawanan esok (hari ini) merupakan sesuatu yang mesti saya dan rakan-rakan lakukan untuk sejarah NSFC.
“Kita tahu bukan senang untuk berada di tahap sekarang kita berada dan apa yang kita lakukan, kena fokus 100 peratus dan berikan komitmen untuk nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Bagaimanapun menurut Zaquan Adha, pemain-pemain NSFC juga perlu berjaga-jaga dengan PDRM FC yang pastinya akan memberikan saingan sengit bagi memburu tempat ke saingan Piala Malaysia.
“PDRM FC pun mahu menang untuk layak ke Piala Malaysia, perlawanan nanti akan sukar juga buat kita. Kena berjaga-jaga juga kerana pusingan pertama pun kami menang 1-0, dan pusingan kedua ini juga saya lihat permainan mereka juga sangat baik.
“Cuma untuk perlawanan esok (hari ini) lebih kepada semangat para pemain, kelebihan buat kami yang bermain di gelanggang sendiri dan juga semangat untuk menjulang piala, itu akan menjadi perbezaan di antara NSFC dan PDRM FC,” katanya.