Mustaqim pesan jangan menangis, keluarga terima pencen bulanan - Utusan Malaysia

Mustaqim pesan jangan menangis, keluarga terima pencen bulanan

MAGLITA Varshay Ibrahim (duduk, dua kanan) dan suami, Ismadi Mustafa (kanan) menerima replika cek faedah Perkeso daripada Yahya Jaafar sambil disaksikan Tong Sing Chuang (dua kiri) di Flat Serantau, Larkin di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemandu lori syarikat logistik dan penghantaran bungkusan yang maut dalam kemalangan, Muhammad Mustaqim Ismadi, 23, pernah berpesan agar jangan menangisi pemergian orang, tetapi sebaliknya mendoakan mereka.

Ibunya, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata, anak sulungnya itu membuat pesanan tersebut selepas kehilangan ibu saudaranya akibat Covid-19, kira-kira empat bulan lalu.

Suri rumah itu memberitahu, sejak akhir-akhir ini anaknya menunjukkan perubahan ke arah yang lebih baik sehingga disedari masyarakat setempat dan rakan-rakan sekerjanya.

“Kira-kira empat bulan lalu, kakak saya meninggal dunia akibat Covid-19. Ketika saya sedang bersedih, Mustaqim nasihatkan agar jangan menangis sebaliknya sedekah doa.

“Katanya itu adalah perkara yang lebih baik untuk dilakukan berbanding hanya meratapi pemergian orang tersayang,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Tong Sing Chuang dan Ahli Majlis Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Kelmarin, lori dipandu Muhammad Mustaqim terbabas melanggar pokok sebelum terbakar kerana dipercayai mengelak kon yang berada di atas jalan. Akibat kemalangan itu, Mohamad Mustaqim tersepit dan maut setelah kenderaan itu terbakar.

Tambah Maglita, mereka sekeluarga bagaimanapun tetap mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang bertindak pantas mengeluarkan anaknya daripada kebakaran tersebut.

“Terima kasih kepada anggota bomba kerana tindakan pantas mereka memadamkan api, sekurang-kurangnya mayat pun tidak terlalu teruk (terbakar),” ujarnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Perkeso.

Sementara itu, Sing Chuang memberitahu, waris Muhammad Mustaqim menerima skim Faedah Orang Tanggungan Perkeso membabitkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan pencen bulanan RM1,333.50.

“Kemalangan yang berlaku itu adalah ketika orang berinsurans (Muhammad Mustaqim) sedang melakukan kerja dan dilindungi Perkeso.

“Sehubungan itu, Perkeso akan membayar FPM dan faedah orang tanggungan mengikut kepada caruman dilakukan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya