PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua murid-murid yang akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Oktober ini.
Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sebelum ini pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan, namun bermula dari sesi persekolahan kali ini, ia diwajibkan, malah beliau menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda.
“Untuk murid dari keluarga sosioekonomi yang rendah, kita akan ikhtiarkan dan bekalkan sedikit pelitup muka untuk mereka di sekolah, maka kita akan bekalkan kepada guru untuk diberi pelitup muka untuk murid yang memerlukan.
“Insya-Allah, kita akan laksanakan usaha ini bagi membantu anak-anak kita dari kumpulan memerlukan, yang tidak mampu untuk menyediakan pelitup muka,” katanya dalam sidang akhbar pengoperasian sekolah hari ini.
Beliau juga meminta semua pengetua, guru besar dan guru-guru supaya memastikan setiap bilik darjah mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
“Sistem pengudaraan mesti berada di tahap optimum, maknanya kalau ada langsir menghalang pengudaraan, boleh simpan dahulu langsir itu untuk satu tempoh sebelum melihat langkah selanjutnya.
“Aliran udara perlu berlangsung dengan baik untuk mengurangkan risiko jangkitan, jadi penggunaan kipas dalam kelas digalakkan sebagai sebahagian usaha kepada pengaliran udara lebih baik,” katanya.
Bagi waktu rehat, Radzi berkata, murid dibenarkan makan dalam kelas dibawah pengawasan guru, namun begitu untuk kelas yang menggunakan penghawa dingin, mereka perlu makan di luar dibawah pengawasan guru.
“Umumnya, kita kekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk murid makan dalam kelas.
“Ada yang kata makan di luar lebih baik, kami bersetuju, tetapi ia satu cabaran kerana pengawalan murid, sebab itu apabila mereka makan di meja masing-masing adalah lebih mudah dikawal berbanding di luar kelas. Jadi mengambil kira perkara itu, murid boleh terus kekal makan dalam kelas kecuali kelas penghawa dingin,” katanya.
Aktiviti sukan dan kokurikulum masih belum dibenarkan, namun Radzi berkata, kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan dibenarkan.
“Kita boleh benarkan dengan syarat murid telah siap pakai pakaian sukan dari rumah dan mereka tidak menyalin baju di sekolah.
“Kita nak mengelakkan kesesakan dalam bilik persalinan apabila semua murid nak menyalin baju,” katanya. – UTUSAN