KUALA LUMPUR: Ketidakhadiran murid setelah ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah apabila dibuka nanti, tidak dianggap sebagai kesalahan disiplin.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Radzi Jidin bagaimanapun berkata, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran anak mereka secara bertulis kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.
Menurutnya, kerajaan memberi ruang seluasnya kepada ibu bapa dan penjaga untuk membuat keputusan jika mereka bimbang keselamatan anak akibat penularan jangkitan Covid-19.
“Kalau dahulu, murid sekolah tidak hadir akan diambil surat amaran. Tetapi, sekarang kerajaan memaklumkan tiada surat amaran yang dikeluarkan kerana ingin berikan seluas-luasnya ruang kepada ibu bapa.
“Sebab dalam lima juta ini ada pelbagai latar belakang. Ada yang rasa sekolah ini adalah tempat yang mereka pergi mereka sudah tinggal lama jadi kita kena ambil kira.
“Maka, kalau tidak hantar anak ke sekolah tidak mengapa. Dalam konteks ini kita tidak akan rekod sebagai tidak hadir dalam rekod nanti. Yang ibu bapa takut bila sijil berhenti nanti, nanti terjejas jumlah kehadiran dan sebagainya. Itu kita akan selesaikan perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi bual bicara Soal Rakyat yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan bertajuk Pengoperasian Sekolah Kementerian Pendidikan, malam ini.
Menjelaskan mengenai tujuan rekod itu, kata Radzi, ia bertujuan untuk membolehkan kerajaan melakukan intervensi atau sebarang bantuan selepas memaklumkan sebab tidak hadir murid sekolah.
“Ini akan membantu kementerian sama ada perlu memberi bantuan apa-apa, kita perlu membuat intervensi dan ini amat penting untuk mohon ibu bapa kalau anak tidak hadir, hanya tulis surat bahawa anak kita tahu tidak hadir ke sekolah.
“Sebab kadang-kadang ibu bapa mungkin sangka anak dia pergi sekolah tapi tidak datang. Jadi, ibu bapa tidak tahu kementerian pun tidak tahu. Sebab itu bila kata maklumkan itu sebenarnya untuk menjaga anak-anak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kepada guru besar dan pengetua sekolah untuk tidak membuat sebarang keputusan atau penetapan terhadap pemakaian sekolah murid kerana kementerian telah memberi kebenaran untuk tidak mewajibkan pemakaian seragam sekolah.
Sebelum itu, beliau mengumumkan, murid-murid yang bakal kembali mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober ini tidak diwajibkan untuk memakai pakaian seragam sekolah.
“Janganlah pula buat keputusan pengetua sekolah hari Isnin pakai warna biru, hari Selasa pakai warna merah, hari Rabu pakai warna kuning, kemudian hari Khamis pakai sekian-kian, tidak.
“Kali ini kita beri ruang kepada anak-anak kita, ibu bapa datang hantar anak ke sekolah dalam keadaan mereka rasa tidak memberi tekanan kepada mereka. Yang penting niat asal, bawa mereka kembali ke sekolah mereka terlalu lama renggang dengan sistem persekolahan secara bersemuka,” katanya. – UTUSAN ONLINE