PUTRAJAYA: Murid yang bergejala ketika sedang menghadiri sesi persekolahan perlu menjalani ujian air liur Covid-19 yang disediakan pihak sekolah.
Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ini bagi memastikan murid yang bergejala itu tidak menjangkiti murid lain.
“Kalau murid bergejala sebelum ke sekolah, jangan dibenarkan ke sekolah, biar dia berada di rumah.
“Namun sekiranya sewaktu hadir ke sekolah tidak bergejala, mungkin waktu rehat, nampaknya murid itu menunjukkan gejala tertentu di sekolah, maka kita akan sediakan kit ujian air liur dan guru akan menempatkan murid itu di bilik isolasi dan melaksanakan test tersebut, sekurang-kurangnya kita dapat asingkan murid ini dari kelompok murid lain,” katanya.
Dalam pada itu, Radzi turut menjawab persoalan mengapa murid sekolah asrama dibenarkan memulakan sesi persekolahan tanpa penggiliran.
“Ini bagi mewujudkan gelembung selamat anak-anak kita. Tetapi murid sekolah asrama perlu mengambil kit ujian air liur tiga kali iaitu sebelum masuk asrama, pada hari keenam, dan hari ke-14.
“Diharapkan pendekatan ini, maka asrama itu sendiri menjadi gelembung yang selamat dan mempunyai pengudaraan optimum di setiap bilik,” katanya. – UTUSAN