ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menimbang untuk mengambil tindakan susulan berhubung dakwaan pemindahan wang berjumlah RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke dalam satu akaun luar negara.
Menurut Mukhriz, beliau mengambil serius dakwaan itu yang dianggapnya sebagai tuduhan liar dan meminta supaya Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan itu.
Menurutnya, beliau terkejut dengan dakwaan dibuat Muhammad Sanusi yang disifatkan sebagai langsung tidak berasas.
“Apabila dibuat dakwaan liar dan dilaporkan secara meluas di dada akhbar, perkara itu beri gambaran buruk kepada saya, parti diwakili serta kerajaan terdahulu kerana banyak perkara yang tak jelas dari kenyataan itu.
“Begitu pun saya kira, persepsi orang apabila tengok nama saya, angka RM13 juta, perkataan pindah wang dan Kanada, orang akan buat satu kesimpulan bahawa saya curi duit MBI Kedah sebanyak RM13 juta, masuk akaun di Kanada.
“Saya terima banyak mesej daripada rakan-rakan, wartawan dan orang tidak dikenali berkaitan hal ini sejak semalam. Jadi ini tentu jadi topik yang sangat hangat walhal tak ada asas di sebalik dakwaan dibuat Muhammad Sanusi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Semalam Muhammad Sanusi mendakwa, pemindahan wang tersebut berlaku ketika Mukhriz masih menjadi Menteri Besar, sebelum ini.
Begitu pun dalam sidang akhbar hari ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan Mukhriz mungkin tidak mengetahui mengenai transaksi tersebut memandangkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu seakan terkejut dengan pendedahan itu.
Mengulas lanjut katanya, selaku Menteri Besar, Muhammad Sanusi seharusnya mengambil sikap berhati-hati untuk membuat kenyataan rasmi dalam sidang media kerana beliau tidak hanya mewakili dirinya sendiri malah kerajaan negeri.
“Dalam isu ini, saya sekali lagi menyarankan kepada Muhammad Sanusi agar membuat laporan polis atau SPRM supaya siasatan dapat dibuat secara menyeluruh.
“Jika tidak, itu bermakna dakwaan ini dibuat tanpa bukti dan asas. Maka saya cabar beliau untuk mohon maaf dan tarik semula dakwaan tersebut,” katanya. – UTUSAN