SHAH ALAM: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membuka ruang kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk membuat penyelidikan dengan atlet paralimpik Malaysia dalam menuju Sukan Paralimpik Paris 2024.
Presiden MPM, Datuk Sri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, tempoh tiga tahun yang ada ini mungkin tempoh yang sesuai untuk MPM bekerjasama menggunakan kepakaran yang ada di UiTM supaya prestasi atlet paralimpik negara akan dapat ditingkatkan lagi.
“Dengan prestasi kutipan tiga pingat emas dalam dua edisi Sukan Paralimpik sebelum ini diharap kerjasama yang akan dijalin dapat membantu Kontingen Paralimpik Negara untuk berjaya membawa pulang lebih dari tiga pingat emas di Paris nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program webinar yang dianjurkan oleh Pusat Sukan dengan kerjasama Pejabat Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UiTM kelmarin.
Webinar tersebut juga menampilkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang.
Webinar edisi kemerdekaan tersebut membangkitkan soalan-soalan bersifat patriotisme negara dari sudut pandangan kedua-dua ahli panel.
Sementara itu, Azizulhasni menerusi webinar tersebut memberitahu akan memberi fokus untuk terus berlatih menuju ke Sukan Olimpik Paris di Melbourne.
Katanya lagi, dua pelumba yang meningkat naik, Shah Firdaus dan Fadhil Zonis juga akan dipastikan untuk terus bersama beliau dalam usaha mencapai misi mendapat pingat emas pertama Sukan Olimpik untuk negara pada tahun 2024 nanti.
Dengan usia menganjak ke 36 tahun di Paris nanti, Azizulhasni kini kembali fokus kepada latihan di Melbourne untuk mengekalkan prestasi beliau sebagai pelumba dalam penampilan terakhir dalam pentas Sukan Olimpik.
Untuk rekod, program webinar tersebut disiarkan secara langsung menerusi YouTube UiTM Channel. – UTUSAN