Mohamad Nizar rekod perintah persetujuan bayar tunggakan cukai - Utusan Malaysia

Mohamad Nizar rekod perintah persetujuan bayar tunggakan cukai

MOHAMAD NIZAR NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan, Datuk Mohamad Nizar Najib telah merekodkan perintah persetujuan dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung pembayaran tunggakan cukai berjumlah RM13.16 juta.

Mohamad Nizar yang juga anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merekodkan perintah persetujuan tersebut pada 26 Ogos lalu.

Sehubungan itu, rayuan beliau di Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus dalam tuntutan saman cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan ditarik balik.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Mohamad Nizar memberitahu media, notis penarikan balik rayuan (NOD) telah dihantar kepada cawangan litigasi LHDN melalui email hari ini dan akan difailkan selepas mendapat kelulusan badan itu.

Beliau memaklumkan perkembangan pengurusan kes hari ini yang dikendalikan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mariam Hasanah Othman. Peguam Kanan Hasil Muhammad Nabil Abdul Halim mewakili LHDN.

Menurut Yeong Kang, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 9 September ini agar pihak-pihak memaklumkan perkembangan mengenai status NOD terhadap rayuan.

Pada 11 Ogos tahun lalu, Mohamad Nizar mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Ogos yang memberikan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Julie Lack memutuskan pembayar cukai perlu membayar cukai terlebih dahulu tanpa mengambil kira rasa tidak puas hari berhubung jumlah tersebut atau memberikan alasan.

Pada 24 Julai 2019, LHDN bagi pihak kerajaan memfailkan surat perintah saman terhadap Mohamad Nizar, yang mengarahkannya untuk membayar sebanyak RM13,159,821,94 sepanjang tempoh tahun 2011 hingga 2017.

Selain Mohamad Nizar, Najib dan seorang lagi anak lelakinya Mohd. Nazifuddin turut dikenakan saman cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN