MHO serah memorandum kepada Ketua Menteri Sabah - Utusan Malaysia

MHO serah memorandum kepada Ketua Menteri Sabah

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah mengemukakan memorandum bantahan secara aman kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor ekoran proses pengeluaran dokumen perjalanan yang lambat diproses dan mengakibatkan banyak warga Filipina di Depoh Tahanan Imigresen Sabah tidak dapat dihantar pulang segera.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, masalah itu mengakibatkan mereka terpaksa berada di sana lebih lama sehingga ada yang melebihi dua tahun hanya semata-mata menunggu dokumen tersebut sebelum boleh diusir pulang.

“Dengan prinsip kemanusiaan, MHO menghantar memorandum bagi menyatakan bantahan dan permintaan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya memberi pertimbangan kepada mereka yang ditahan di depoh tersebut akibat status pas pengenalan diri mereka kepada golongan stateless serta  pemegang pas pelarian yang diiktiraf kerajaan negeri sebelum ini.

“Selain pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdapat di depoh negeri Sabah, terdapat ramai golongan kategori ini di sana. Majoriti daripada mereka merupakan golongan pemegang pas pelarian atau waris atau pemegang sijil lahir yang belum sah taraf.

“Banyak daripada mereka didaftarkan lewat sijil kelahiran dan masih berstatus dalam siasatan atau permohonan semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah. Namun kerana maklum balas dan juga pengesahan dokumen tersebut seringkali lambat diterima menyebabkan mereka juga terpaksa berada dalam tempoh yang lama di depoh tahanan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishamuddin, perkara yang sama juga berlaku kepada pemegang pas pelarian dan dokumen banci yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sendiri lambat dibuat pengesahan menyebabkan mereka juga menerima nasib sama.

Justeru, kata beliau, pihaknya samgat kesal dan berpendapat tidak seharusnya berlaku hanya untuk mendapatkan maklum balas pengesahan dokumen apatah lagi membabitkan isu kemanusiaan yang berada di dalam depoh.

“Menurut kajian lapangan, terdapat ramai  wanita mengandung ketika ditahan dan akhirnya beranak di dalam depoh.  Akhirnya tinggal bersama bayi yang lahir hidup di depoh tahanan bertahun-tahun. Bayangkan bagaimana bayi dan kanak-kanak tersebut menjalani hidup di dalam depoh tanpa bekalan susu dan makanan yang bersesuaian.

“Terdapat juga wanita warga emas yang terpisah dengan suami dan anak-anak hanya kerana menunggu status pengesahan dokumen mereka. Malah saban hari kami menerima berita sejak musim pandemik ini kematian bayi dan orang dewasa berlaku di dalam sana,” jelas beliau.

Oleh itu, kata beliau lagi, MHO merayu atas perikemanusiaan kepada Kerajaan Negeri Sabah agar membebaskan mereka segera supaya boleh kembali menjalani kehidupan bersama keluarga mereka.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pejabat Ketua Menteri Sabah yang telah sudi menerima dengan baik kehadiran wakil kami sekali gus menerima memorandum ini yang disampaikan melalui Pegawai Pejabat Ketua Menteri Sabah, Lo Su Fui pada baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya