DUNGUN: Selepas hampir 26 jam pencarian, mayat nelayan yang hilang di muara Kuala Dungun di sini ditemukan di Pulau Kapas, Marang hari ini.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azman Alias berkata, mayat Mohd. Noor Mamat, 67, ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat pada pukul 3.40 petang.
Katanya, lokasi penemuan itu terletak kira-kira 38 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh daripada bot akibat dilambung ombak, semalam.
“Arus deras, ombak dan air pasang besar menjadi antara faktor mangsa dihanyutkan jauh dari lokasi kejadian dalam masa singkat.
“Mayat kemudian dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di pusat kawalan operasi di Kuala Dungun, hari ini.
Nelayan yang ditemukan mati selepas terjatuh daripada bot, Mohd Noor Mamat, 67, tetap bertegas untuk turun ke laut meskipun kesihatannya kurang mengizinkan.
Sementara itu, anak mangsa, Nor Zafirah Mohd. Noor, 34, berkata, tiga hari sebelum kejadian, bapanya menunjukkan beberapa perubahan termasuk keluar ke laut lebih awal berbanding kebiasaan.
“Biasanya ayah keluar selepas solat Subuh tetapi semalam dia keluar lebih awal ke jeti yang terletak lima kilometer dari rumah. Ayah berdegil mahu ke laut walaupun ibu dan anak-anak melarangnya,” katanya. – UTUSAN