KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan dua lelaki warga asing yang jatuh laut ketika sedang bekerja di kelong KS Aquaculture sekitar perairan Pulau Tengah Selangor, malam tadi.
Kedua-dua mangsa iaitu Priadi, 34, warga Indonesia dan Saw Bearry Htoo, 30, warga Myanmar dikatakan telah jatuh laut lebih kurang pukul 4 petang dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, kedua-dua mangsa dikatakan dilihat kali terakhir memakai baju KS Aquaculture berwarna putih dengan seluar berwarna biru sebelum dilaporkan hilang di laut.
“Operasi Carilamat telah diaktifkan pada pukul 5.10 petang semalam. Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti PPM Klang. Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Rosli, operasi yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua mulai pukul 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot Pengawal 26 dan dua unit jetski Maritim, dengan dibantu bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis marin serta komuniti nelayan setempat.
Ujarnya, operasi hari ini merangkumi keluasan 19.22 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Tengah.
“Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” ujarnya. – UTUSAN