Maritim Malaysia rampas 39kg syabu bernilai hampir RM2 juta - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas 39kg syabu bernilai hampir RM2 juta

NURUL Hizam Zakaria (tengah) menunjukkan 38 bungkusan dadah dipercayai jenis syabu yang ditemukan dalam bagasi di perairan Muar, Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  mematahkan cubaan menyeludup keluar 39 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu membabitkan nilai rampasan bernilai RM1.95 juta.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, anggotanya mengesan kehadiran sebuah bot mencurigakan disyaki membawa bekalan dadah di perairan Muar.

“Ketika berada di kedudukan 1.6 batu nautika tenggara Sungai Kesang, pasukan  mengesan kehadiran sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran.

“Menyedari kehadiran bot ronda maritim, dua suspek yang berada di atas bot terus memecut laju ke arah hutan bakau berhampiran sebelum nekad terjun melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan kemudian menemukan dua bagasi berwarna hitam mengandungi paket bungkusan teh cina berwarna hijau,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat, hari ini.

Menurut Nurul Hizam, sebanyak 38 bungkusan dipercayai dadah disimpan dalam dua buah bagasi berkenaan yang dianggarkan berat keseluruhannya melebihi 39kg.

“Turut dirampas sebuah bot fiber berserta enjin jenis Yamaha 30 kuasa kuda bernilai kira-kira RM20,000. Keseluruhan rampasan termasuk dadah adalah berjumlah RM1.97 juta.

“Usaha mengesan kedua-dua suspek kini giat dijalankan termasuk melakukan padanan cap jari oleh jabatan forensik bagi menjejaki dalang terlibat,” katanya.

Nurul Hizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya